
KAPAR: Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar menegaskan kesungguhan sayap pemuda untuk merampas semula kerusi yang dianggap dikhianati serta menawan kawasan baharu dalam usaha mengembalikan kuasa rakyat kepada Perikatan Nasional (PN).
Beliau menegaskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang dan DUN Meru menjadi antara fokus utama dalam gerak kerja politik akan datang.
“Alhamdulillah, kita selesai bermuktamar Pemuda PAS Selangor kali ke-59. Maknanya tahun depan akan beranjak ke-60, Jubli Intan kita pada tahun depan.
“Dalam muktamar ini juga kita mengambil kesempatan menegaskan beberapa pendirian penting kita, terutama kerusi yang dikhianati di DUN Selat Klang dan juga kerusi yang kita akan rampas di DUN Meru,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Selangor Kali Ke-59 di Dewan Mawar Biru Duo, Jalan Meru, di sini, pada Ahad.
Beliau yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam berkata, pada muktamar tahun lalu di Gombak, Pemuda PAS telah menyuarakan kesiapsiagaan untuk merampas Parlimen Gombak dan DUN Sungai Tua.
“Saya kira ia bukan angan-angan perbezaan tujuh kerusi ini, menggambarkan kesediaan dan Insya-Allah Pemuda PAS bersama Perikatan Nasional (PN) akan menjadi tenaga paling utama untuk menggerakkan kebangkitan dan kekuatan ini di Selangor,” katanya.
Beliau turut mengkritik kerajaan negeri berhubung isu banjir yang masih berlarutan tanpa penyelesaian tuntas.
“Saya menekankan berapa isu utama di Selangor, terutama isu tebatan banjir yang dikira tidak berkesudahan sehingga mendapat teguran daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang sewajarnya diambil perhatian oleh kerajaan negeri.
“Apa guna berbangga dengan hasil berbilion ringgit tetapi isu rakyat masih belum selesai,” bidasnya.
Beliau turut membangkitkan isu di Putra Heights yang tidak mendapat tindakan wajar.
“Kita memberi gesaan yang sama bagi isu di Putra Heights agar diberikan perhatian dan tindakan yang sewajarnya, bukannya cakap-cakap kosong oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











