
KUANTAN: PAS mempunyai pendekatan tersendiri dalam soal pemilihan kepimpinan, termasuk dalam menentukan calon Perdana Menteri dan tidak terlibat dalam perebutan jawatan seperti yang sering berlaku dalam parti-parti politik lain.
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, walaupun tiada pengumuman rasmi mengenai siapa yang akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya PAS dan gabungannya berjaya membentuk kerajaan, parti itu memiliki ramai tokoh berwibawa.
“Kalau kata nak turunkan (Perdana Menteri), siapa yang layak? Dalam PAS ini semua ada bakat. Yang pasti kita mahu memastikan PAS dan rakan gabungan dapat memerintah negara.
“Insya-Allah, saya sangat yakin pada waktu itu kita akan duduk berbincang seperti yang berlaku di peringkat negeri,” katanya dalam sidang media Sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Pahang Kali Ke-43 program di Cendana Hall, Seri Manja Boutique Hotel Indera Mahkota, di sini kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siapa calon yang layak menjadi Perdana Menteri sekiranya usaha Himpunan Turunkan Anwar berjaya menggugat kedudukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Sementara, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata, pendekatan PAS berbeza kerana sebarang keputusan termasuk pencalonan kepimpinan tertinggi dibuat secara bermesyuarat dan bukan berdasarkan kempen peribadi atau persaingan dalaman.
“Kita tak boleh umum siapa (calon Perdana Menteri) sekarang kerana banyak sentimen yang perlu diambil kira. Pendekatan kita tak sama seperti parti lain yang berebut nak jadi PM, nak jadi menteri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pemimpin PAS dari peringkat Cawangan hingga Pusat telah melalui proses tapisan dan latihan kepimpinan yang ketat.
“Ya, semua layak. Mereka dilatih menjadi pemimpin di peringkat akar umbi, Kawasan, Negeri dan Pusat. Mereka disaring oleh jemaah dan juga rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas kekuatan jentera parti dan prestasi wakil rakyat PAS di peringkat negeri dan Parlimen.
“Kita ada 17 ADUN dan lima Ahli Parlimen. Kalau nak ukur kekuatan PAS, tengok pada prestasi wakil rakyat kami. Walaupun berdepan pelbagai kekangan termasuk tiada peruntukan, kami tetap komited berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Menurutnya, sikap berkhidmat tanpa mengira kekangan itu sudah diterapkan sejak awal dalam perjuangan PAS.
“Kita sudah biasa jadi pembangkang. Kita tahu betapa sukarnya urus kehendak rakyat. Tapi kalau kami diberi peluang mentadbir, Insya-Allah kita boleh buat lebih baik daripada kerajaan hari ini,” katanya.
Menurut Andansura di dalam PAS, budaya melobi atau berkempen untuk jawatan tidak diamalkan dan lazimnya mereka yang terlalu ke hadapan tidak akan dipilih.
“Dalam PAS, siapa yang merancang (untuk naik) biasanya akan jatuh. Siapa yang faham, dia tahu, orang yang berkempen nak jadi ketua biasanya tak akan dipilih,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











