
KLANG: Jentera parti, khususnya Dewan Muslimat PAS Selangor perlu memperkukuh strategi dan kesatuan dalam mendepani cabaran politik semasa serta persiapan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, dunia hari ini penuh dengan cabaran termasuk dari segi media sosial dan realiti lapangan yang menuntut kecekapan dan kebijaksanaan dalam bertindak.
“Sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ketua Muslimat, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan tadi amanat yang diberikan sangat penting kepada kita dalam memastikan kita mendepani gerak kerja yang semakin hari semakin mencabar.
“Dunia yang penuh cabaran yang berbagai-bagai bentuk dalam media sosial dan juga fizikal yang perlu kita tangani dengan lebih cermat dan sistematik memerlukan suatu strategi yang lebih mantap,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan program Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Selangor kali ke- 38 di Dewan Perkahwinan The Alnia, di sini kelmarin.
Ab Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras berkata, Ketua Muslimat PAS Selangor telah menggariskan beberapa strategi dan cabaran yang perlu dianggap serius oleh semua ahli untuk memastikan telah bersedia memerintah Selangor.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jentera Muslimat Selangor yang disifatkan sebagai tulang belakang kemenangan parti, bukan sahaja dalam kerja politik, tetapi juga dalam kebajikan dan urusan komuniti.
“Selain itu, kebajikan yang perlu kita teruskan demi masa kelangsungan sebagai menunaikan tanggungjawab kita sebagai ahli jemaah Islam yang menekankan kepada aspek tarbiah, siasah yang juga dakwah yang kita pegang selama ini,” katanya.
Beliau berkata, hubungan dengan rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) juga perlu terus diperkukuh untuk memastikan jentera menghadapi pilihan raya dalam keadaan bersatu dan tersusun.
“Ia bagi memastikan usaha dan tumpuan kita dalam mendepani pilihan raya yang tidak lama lagi akan berlaku ini dan kita akan melalui dengan penuh tanggungjawab dan teguh.
“Insya-Allah dengan keupayaan yang ada bersama kita dengan jentera muslimat yang terkenal dengan kesungguhan di semua peringkat bermula daripada culaan sehinggalah doa akhir, solat hajat dan sebagainya.
“Maka ia merupakan aset yang paling penting dalam menjana kemenangan kita insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











