
KLANG: Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan seluruh ahli parti agar tidak melupakan asas perjuangan PAS sebagai sebuah harakah Islamiyah yang bertunjangkan kepada tarbiah, dakwah dan siasah.
Beliau berkata, walaupun PAS bergerak dalam kerangka politik sebagai sebuah parti berdaftar, namun asas pembinaannya adalah gerakan Islam yang memerlukan keseimbangan dalam ketiga-tiga aspek tersebut.
“PAS sama ada muslimat, pemuda atau dewan ulamak atau apa jua kelompok yang menjadi ahli PAS ini haruslah memahami bahawa tugas dan tanggungjawab menjadi ahli parti.
“Yang selalu kita dengar ia sebut tugas tanggungjawab kita untuk melaksanakan tarbiah, dakwah dan siasah kerana berdirinya PAS itu adalah sebagai sebuah harakah Islamiyah.
“Hal demikian membolehkan kita bergerak secara rasmi dari aspek undang-undang dalam negara, maka kita daftarkan PAS harakah Islamiyah sebagai sebuah parti politik yang masih berpegang kepada tarbiah, dakwah dan siasah atau politik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Selangor kali ke- 38 di Dewan Perkahwinan The Alnia, di sini kelmarin.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu turut melontarkan persoalan sama ada semua ahli benar-benar menghayati prinsip tersebut dalam kehidupan seharian.
“Kita perlu muhasabah ialah memang kita sebut tarbiah, dakwah dan siasah, tetapi adakah betul amalan kita di peringkat individu dan di peringkat jemaah?
“Kalau dalam sehari kita buat audit, berapa peratus kita bercakap mengenai siasah atau politik berbanding kita bercakap mengenai tarbiah atau dakwah?
“Cuba masing-masing ingat.. kalau muslimin pergi kedai kopi jumpa kawan-kawan, cakap politik ke dakwah ke tarbiah? Mungkin satu hari kita kata 80 peratus kita bercakap tentang politik dalam kumpulan WhatsApp. Mana pergi dakwah dan tarbiah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman menegaskan bahawa kecenderungan untuk terlalu menumpukan kepada aspek politik semata-mata boleh melemahkan kekuatan parti dalam jangka panjang.
“Pembahagian ini mestilah kekal ada dalam parti kita siasah, tarbiah dan dakwah. Tidak ada satu pun yang boleh kita tinggalkan. Tinggal salah satu daripadanya terutama tarbiah dan dakwah ini akan memberi kelemahan kepada kita.
“Oleh kerana adanya tarbiah dan dakwah inilah yang memperkuatkan parti kita sehingga dapat berdiri sampai ke hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025











