Hormati perkahwinan sah, tolak budaya songsang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masyarakat Islam wajib menjunjung nilai perkahwinan sah menurut syariat dan menjauhi budaya songsang serta gaya hidup bebas yang bertentangan dengan ajaran Islam.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga PAS, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, Islam sangat menghormati perkahwinan yang sah dan tanggungjawab umat Islam adalah untuk menyokong kebaikan serta mencegah kemungkaran.

“Sebagaimana yang ditegaskan dalam Surah Ali-Imran ayat ke-110, maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

“Dalam hubungan kita dengan Allah SWT ini, maka kita mesti bersama dalam mengajak manusia kepada ma’aruf dan mencegah daripada mungkar,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, tadi.

Beliau turut menyelar tindakan segelintir pihak yang mempersendakan perkahwinan sah sebagai jenaka, sambil menyifatkannya sebagai bukti kejahilan terhadap ajaran Islam dan pengaruh budaya Barat makin menular.

“Perkahwinan adalah hubungan halal yang sepatutnya dihormati oleh semua pihak. Sebaliknya, budaya bebas dan zina adalah perbuatan haram yang wajib dijauhi.

“Sikap mempolemikkan perkahwinan sah adalah tanda jauhnya masyarakat dari kefahaman Islam,” katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Beliau turut mengingatkan bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah dan sesiapa mencari selainnya tidak akan diterima serta akan tergolong dalam golongan rugi di akhirat.

Justeru, beliau menyeru agar seluruh umat Islam kembali kepada penghayatan cara hidup Islam yang sebenar, menjauhi budaya songsang dan melindungi masyarakat daripada gejala merosakkan akhlak dan institusi kekeluargaan.

“Jadi marilah sama-sama kita menjadi hamba Allah SWT yang taat kepada perintah-Nya, yang menjauhi larangan-Nya dan meletakkan penghayatan cara hidup Islam itu adalah yang terbaik dalam diri dan masyarakat.

“Sama-sama kita menjauhi budaya songsang, cara hidup songsang, budaya bercanggah dengan syariat itu yang menjadi kegilaan remaja hari ini yang sepatutnya kita jauhi dan sama-sama kita mencegahnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -