Malaysia tidak kalis ejen asing: Jadi medan konflik luar

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia pernah menjadi ‘command post’ kepada serangan siber terhadap loji janakuasa nuklear Iran, kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) semasa soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, serangan virus Stuxnet ke atas fasiliti nuklear Iran pada tahun 2012 membuktikan bahawa negara ini telah pun dimasuki oleh ejen agensi perisikan asing, termasuk Mossad, menjadikan Malaysia sebagai medan konflik luar.

“Kalau kita anggap konflik Iran-Israel ini hanya berlaku di Timur Tengah, kita silap. Malaysia pernah jadi pos komando serangan siber ke atas Iran,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu pembunuhan pensyarah Palestin, Dr Fadi Al-Batsh, yang ditembak mati di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu serta insiden kegagalan sistem Autogate Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini sebagai bukti bahawa aspek keselamatan negara sedang terancam.

“Apa jaminan kerajaan bahawa negara kita kalis daripada kemasukan ejen-ejen asing yang boleh merosakkan keselamatan negara kita?” soal beliau kepada Perdana Menteri.

Menjawab soalan itu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa risiko kemasukan ejen asing memang wujud dan kerajaan tidak memandang ringan terhadap ancaman keselamatan tersebut.

“Keselamatan negara adalah keutamaan. Kita telah ambil pelbagai langkah tambahan dan Kementerian Dalam Negeri sedang mempertingkatkan keupayaan sistem keselamatan negara,” katanya.

Pada soalan asal, Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) meminta Perdana Menteri menyatakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan dalam menghadapi ketegangan geopolitik di Timur Tengah, khususnya dalam memastikan kepentingan Malaysia terus terpelihara. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -