Bimbang persepsi salah berkait kedaulatan negara

Sempadan maritim Blok ND6, ND7

Hamzah Zainudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) menyatakan kebimbangan terhadap kenyataan Perdana Menteri yang didakwa boleh menimbulkan persepsi salah berkait isu kedaulatan sempadan maritim negara, khususnya di kawasan Blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z) di Laut Sulawesi.

- Advertisement -

“Cuma saya mohon Tambun kena jelaskan bahawa kalau sekiranya ada apa-apa perbincangan ataupun keputusan, biarlah yang dibuat itu jangan menimbulkan persepsi-persepsi lain,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Perdana Menteri sebelum ini berhubung kemungkinan kerjasama pembangunan bersama (JDA) di kawasan tersebut dengan Indonesia.

“Sebab apa ni ‘statement’ yang dibuat selepas sahaja kita semua dalam negara beranggapan seolah-olah sudah ada perjanjian,” tambah beliau yang juga Ketua Pembangkang.

Menurut Hamzah, situasi semasa masih belum sama dengan perjanjian yang dibuat dengan Thailand kerana Malaysia dan Thailand sudah mempunyai perjanjian had sempadan jelas.

“Kita belum lagi buat keputusan tentang ‘border’, walaupun keputusan undang-undang telahpun berikan kepada kita tentang Ligitan dan Sipadan. Tapi ‘limitation’ untuk sempadan itu belum lagi diputuskan,” tegasnya.

Jelas beliau lagi, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2002 hanya menetapkan kedaulatan ke atas pulau, bukan batas sempadan maritim keseluruhan.

“Apabila kita dah bersetuju, boleh buat ‘joint venture’ saya risau persepsi di luar sana, nanti kalau bawa sekali lagi ke ICJ, ICJ akan buat keputusan oleh kerana you all dah boleh setuju ‘joint venture’, kita rugi dari segi keadaan ‘limitation border’ itu yang sebenarnya,” kata beliau.

Menjawab isu yang dibangkitkan, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada sebarang persetujuan rasmi dibuat dan kerajaan kekal berpegang kepada keputusan terdahulu.

“Saya ingat saya tidak beza pendapat dalam hal ini, bila cadangan itu timbul dari Presiden Brabowo, kita mengatakan ya kita boleh timbangkan, bukan persetujuan,” katanya.

Pada soalan asal Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) meminta Perdana Menteri menyatakan bagaimana keputusan ICJ pada 2002 berkenaan kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan mempengaruhi penentuan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia termasuk kedaulatan Blok ND6 dan ND7. – HARAKAHDAILY 22/7/2025

- Advertisement -