
PUTATAN: Masalah bekalan air di beberapa tempat Putatan semakin meruncing, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Dr. Afifi Shaiffuddin.
Menurutnya, ramai penduduk membuat aduan terpaksa menjalani kehidupan tanpa bekalan air bersih selama berminggu.
“Isu ini bukan lagi sekadar kesulitan tetapi sudah masuk tahap krisis kebajikan asas rakyat,” ujarnya ketika ditemui selepas menyerahkan surat aduan rakyat mengenai masalah itu kepada jurutera Jabatan Air Bahagian Kota Kinabalu, kelmarin. (Foto atas)
Beliau berkata, masalah itu bukan isu rakyat terpencil, bahkan hampir setiap rumah yang dilawat mengeluh perkara sama iaitu ketiadaan bekalan air.
“Bayangkan keluarga yang ada anak kecil atau sakit, bagaimana mereka bertahan tanpa air bersih selama berminggu.
“Saya telah turun ke Jabatan Air Negeri Sabah menghantar surat aduan rakyat kepada jurutera Jabatan Air Bahagian Kota Kinabalu untuk menyampaikan isu berbangkit ini dan mengharapkan tindakan susulan dari pihak berwajib,” tambahnya.
Katanya, kerajaan negeri dan pihak bertanggungjawab mesti mencari jalan penyelesaian isu itu secara serius dengan harapan penyelesaian jangka pendek dapat dibuat agar penduduk tidak menghadapi ketiadaan air berlarutan khususnya di DUN Tanjung Keramat.
Menurutnya lagi, antara kawasan yang paling terjejas ialah Kampung Contoh, Muhibbah, Pasir Putih dan Apartment Platinum serta kampung sekitarnya.
“Rakyat tidak minta projek besar. Tapi bila air paip pun tiada, apa guna kemajuan jika keperluan asas pun gagal ditunaikan,” tegasnya lagi.
Belaiu menambah, para penduduk yang ditemui semasa menerima aduan berharap masalah itu ditangani dan menjadi stabil semula kerana kesukaran menjalani kehidupan seharian. – HARAKAHDAILY 19/7/2025











