
KOTA KINABALU: Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, Hendri Hamsah, mengingatkan kepada anggota Pemuda negeri agar berada dalam keadaan siap siaga dalam menuju gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan lebih tersusun.
Menurutnya, lanskap politik Sabah yang sentiasa berubah, cabaran ekonomi yang membelit rakyat, dan krisis identiti generasi muda memerlukan satu jawapan tuntas, kepimpinan yang segar, berprinsip, dan membumi.
“Maka dalam konteks inilah pemuda PAS perlu tampil bukan lagi sebagai jentera semata-mata, tetapi sebagai pemimpin yang dekat dengan rakyat khususnya anak muda.
“Kita mesti melangkah keluar dari bayang-bayang masa lalu. Kita bukan hanya pejuang jalanan, tetapi pemberi cadangan sebagai penyusun dasar, peneraju solusi, dan wakil kepada suara rakyat,” katanya ketika berucap dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS negeri ke-38 di sini, hari ini. Muktamar itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hafiz Sabri.
Tambahnya, Pemuda PAS mesti berani mengangkat naratifnya sendiri, yang tidak tunduk kepada politik murahan, tetapi memimpin dengan akhlak, ilmu dan amal.
“Menjadi satu tanggungjawab besar untuk membina blueprint gerakan kemenangan dari sudut pendidikan ke ekonomi, dari media ke organisasi, setiap sektor pemuda perlu disusun dan digerakkan secara strategik.
“Kita mesti melahirkan lebih ramai pemuda yang bukan sahaja faqih dalam agama, tetapi juga faham realiti politik, sosial dan kehendak rakyat Sabah,” tambahnya lagi.
Beliau turut mengangkat sebuah naratif ‘Politik Harapan, Bukan Ketakutan’.
“Anak muda hari ini sudah muak dengan politik lama, politik ugut, politik ‘cash is king’, politik auta tidak berisi,” katanya.
Menurutnya lagi, mereka mahukan naratif yang segar seperti politik yang menyatukan, bukan memecah belah.
“Politik yang menyelesaikan, bukan memanjangkan isu, politik yang bercakap dengan data dan hujah, bukan maki dan caci. Inilah naratif politik pemuda PAS! Politik yang matang, berani dan menyantuni semua,” ulasnya.
Hendri ju gamengingatkan para pemuda agar tidak menumpukan kepada hanya berebut kerusi dipertandingkan tetapi menjadi penyelesai isu-isu anak muda untuk menunjukkan keikhlasan perjuangan Pemuda PAS Sabah.
Beliau turut mengajak Pemuda PAS Sabah agar terus berfikir dan berusaha memberi tawaran anak muda dalam PRN17 ini dengan terkait isu pengangguran belia, pemilikan rumah pertama untuk anak muda, tawaran biasiswa negeri yang lebih saksama, dan tawaran pengangkutan dan digitalisasi luar bandar. – HARAKAHDAILY 19/7/2025











