
ALOR SETAR: Negara kini berada dalam suatu ambang negara yang tidak pernah dihadapi pada zaman berzaman sebelumnya di mana rakyat merasa terancam dengan dasar, program dan perancangan dilaksanakan kerajaan memerintah.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara kini sedang menghadapi keadaan ekonomi yang bertambah buruk di mana rakyat jelatanya menghadapi kemiskinan dan papa kedana hidup serba daif dan susah.
“Apa lagi bila kerajaan di negara kita ini telah pun diberikan suatu peluang untuk menerajui negara dan tidak lain dan tidak bukan tujuannya ialah untuk mengangkat darjat dan martabat seluruh rakyat suatu tahap yang lebih tinggi dan dimuliakan.
“Tetapi malang seribu kali malang, walaupun mereka ini telah pun diberikan amanah tetapi dasar-dasar yang telah pun mereka perkenalkan ini tidak membantu
menyenangkan hidup rakyat,” ujarnya kesal.
Menurutnya, rakyat memerlukan satu pendekatan yang lebih berihsan dan bertanggungjawab, tetapi malangnya tidak diendahkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan barisan kabinetnya.
Katanya, antara popular adalah menjanjikan penurunan harga minyak, tetapi hari ini bukan sahaja harga minyak tidak turun, sebaliknya rakyat dibebani dengan kenaikan pelbagai barangan serta janji hutang dihapuskan tidak tertunai.
Terkini katanya, rakyat dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di mana jumlahbdan kadar dikenakan lebih banyak dan tinggi berbanding sebelum ini untuk mencapai sasaran kutipan kepada kerajaan lebih RM10 bilion.
Beliau mengimbas usaha-usaha kerajaan semasa di bawah kepimpinannya selaku Perdana Menteri, walaupun berdepan pandemik Covid-19, tetapi telah mengetengahkan penyelesaian-penyelesaian yang membantu rakyat.
Gesanya, rakyat mesti bertindak daripada sekarang dengan tidak membiarkan situasi sebegini untuk diperbaiki dari berdepan kemusnahan-kemusnahan yang berterusan yang akan dilakukan oleh pentadbiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Turut disentuhnya isu sistem kehakiman di mana Perdana Menteri turut dipertikaikan atas kes yang turut dihadapi Anwar menjadikan negara berada dalam kedudukan sukar kerana dipertikaikan banyak pihak. – HARAKAHDAILY 17/7/2025











