Status lesen lombong nadir bumi masih dikaji

Nurkhuzaini pada Sidang Media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Wisma Darul Iman, hari ini.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu masih menunggu maklum balas daripada dua syarikat yang diberikan kebenaran menjalankan kerja-kerja eksplorasi nadir bumi sebelum mempertimbangkan kelulusan lesen perlombongan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kedua-dua syarikat terbabit diberikan tempoh sehingga hujung September ini untuk melengkapkan kajian mereka.

“Setakat ini, tiada maklum balas rasmi diterima daripada syarikat berkenaan kerana mereka masih berada dalam tempoh yang ditetapkan iaitu antara lapan hingga 12 bulan.

“Kita akan menunggu sehingga tempoh itu tamat sebelum mempertimbangkan proses kelulusan lesen perlombongan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Terengganu Skills Development Centre Berhad (Terengganu Skills), Malaysia Rail Development Corporation (MRDC), serta Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Terengganu telah meluluskan permohonan dua syarikat untuk melakukan kajian awal bagi menentukan skop perlombongan Unsur Nadir Bumi (REE) di negeri terbabit.

Dua syarikat terbabit diberi tanggungjawab melakukan proses penerokaan Ogos tahun lalu bagi menentukan tahap kedalaman sebelum proses perlombongan.

Kerajaan negeri menjangkakan dalam Jun tahun ini akan diluluskan lesen perlombongan untuk keluarkan hasil tersebut. – HARAKAHDAILY 16/7/2025

- Advertisement -