
KADANG-kadang bila saya duduk termenung, saya tanya diri sendiri, ‘Anak-anak kita hari ini, sebenarnya apa yang mereka cari?’ Saya tengok mereka pandai-pandai belaka, celik teknologi sejak kecil, bijak berhujah, cepat ‘tangkap’ apa yang diajar. Tapi dalam masa yang sama, mereka juga cepat terluka, cepat melenting, dan mudah sangat putus asa. Orang panggil mereka generasi strawberry, luar nampak cantik, tapi dalamnya lembut, mudah hancur kalau ditekan.
Saya tak selesa dengan label itu pada awalnya. Tapi bila saya renung dalam-dalam, ada betulnya juga. Dan saya tak salahkan mereka. Dunia mereka jauh berbeza daripada dunia kita dulu. Mereka membesar dengan skrin, bukan dengan lumpur dan larian di padang. Mereka kenal ‘emoji’ lebih awal daripada tatabahasa. Mereka dengar YouTube lebih banyak daripada suara ibu bapa sendiri. Betul tak?
Kita bagi mereka telefon dan tablet bukan sebab ingin memanjakan, tapi kerana ia satu keperluan. Kelas online, kerja sekolah, bahan bacaan, semuanya di hujung jari. Tapi akhirnya, gajet jadi ‘penjaga senyap’ anak-anak kita. Kita pula, makin hari makin jauh, walaupun duduk serumah. Sedihkan? Tapi itulah sebahagian realiti yang telah berlaku hari ini
Saya sendiri, sebagai bapa dan juga pendidik, pernah rasa keliru. Saya nak marah, tapi saya juga rasa bersalah. Nak larang, tapi saya pun tak pasti apa alternatif yang lebih baik. Bila saya tengok pelajar-pelajar saya di universiti, ramai yang sangat cerdas, tapi dalam diam, ramai juga yang bergelut dari dalam. Keresahan, rasa tak cukup diri, esteem kendiri yang lemah dan rasa tak layak disayangi, semua itu mereka simpan sendiri. Mereka memendam. Atau kita bukan pilihan yang mereka ada untuk meluah seluruh isi hati dan berkongsi.
Dan saya mula sedar, kita terlalu ke depan dalam teknologi, tapi agak tertinggal jauh dalam membentuk jiwa.
Kita ajar mereka ilmu, tapi kurang tekankan nilai. Kita mahukan mereka berjaya dalam akademik, tapi terlupa untuk tanya, ‘Macam mana hati kamu hari ini?’ Kita suruh mereka jadi kuat, tapi kita sendiri jarang jadi tempat mereka bersandar. Kita hanya inginkan ‘result’ yang baik dari mereka, tapi tidak berminat dalam proses mendapatkannya itu.
Pada pandangan saya, kalau kita nak bantu anak-anak generasi ini, kita tak boleh sekadar berharap kepada sistem. Kita sendiri kena mula ubah cara kita mendidik. Kita kena bawa semula agama dan adab ke tengah pentas kehidupan mereka. Bukan dengan cara memaksa, tapi dengan cara menunjukkan. Anak-anak ini belajar daripada apa yang mereka lihat, melebihi daripada apa yang kita nak mereka dengar. Kalau kita sendiri tak solat, jangan harap mereka akan rasa solat itu penting. Kalau kita kasar dalam bercakap, jangan terkejut bila mereka juga hilang lembut budi bahasa. Pada kita dan kepada orang lain juga.
Saya percaya, anak-anak ini masih kosong dalam banyak perkara. Dan kekosongan itu bukan kelemahan, itu adalah peluang. Peluang untuk kita isi dengan nilai, dengan akhlak, dengan panduan hidup yang berpaksikan agama. Islam itu bukan beban. Ia adalah cahaya. Dan anak-anak hari ini perlukan cahaya itu lebih daripada sebelumnya.
Di sekolah, guru perlu jadi contoh yang hidup. Jangan sekadar mengajar dari buku, tapi hidupkan ilmu dengan perbuatan. Di rumah, ibu bapa perlu jadi tempat paling selamat untuk anak-anak kembali. Bukan tempat yang hanya menilai keputusan, tapi ruang untuk mereka belajar jadi manusia. Ibu bapakan guru pertama anak-anak? Atau kita dah lupa?
Saya tak kata semuanya mudah. Saya sendiri pun masih belajar. Masih mencari cara untuk faham dan dekati anak-anak zaman sekarang. Tapi satu perkara saya yakin, mereka bukan generasi yang gagal. Mereka generasi yang sangat berpotensi dan juga sedang menunggu untuk difahami.
Dan mungkin, apa yang mereka tunggu selama ini, adalah kita. Maka, kitalah yang kena bertindak sekarang. Jika tidak sekarang, bila lagi?
AHMAD HAZMAN ALI
Pensyarah Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Insan, KIAS Nilam Puri – HARAKAHDAILY 16/7/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.












