Anwar makin gagal, ekonomi pulih hanya khayalan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) telah gagal mengurus ekonomi negara dan kebajikan rakyat dengan berkesan, berbanding kejayaan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika negara dilanda krisis pandemik.

- Advertisement -

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari bahawa tiada pemimpin lebih layak daripada Anwar untuk memulihkan ekonomi dianggap satu penafian realiti dan khayalan semata-mata.

“Taufiq mungkin masih belum sedar bahawa Malaysia kini berada dalam keadaan ekonomi yang membimbangkan. Penurunan mendadak Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia pada Julai 2025 menjadi isyarat jelas bahawa ekonomi negara sedang merosot.

“Malangnya, langkah ini diambil terlalu lewat mencerminkan kegagalan sebuah kerajaan yang enggan mengakui hakikat sebenar bahawa negara kini berada di ambang krisis ekonomi dan kewangan yang serius.

“Lebih malang lagi, kemerosotan ini berlaku tanpa bencana global seperti pandemik Covid-19, membuktikan kegagalan mutlak pentadbiran Perdana Menteri ke-10, Anwar Ibrahim,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Tun Faisal membandingkan prestasi ekonomi semasa pentadbiran Muhyiddin dengan Anwar berdasarkan beberapa indikator seperti lebihan dagangan, pelaburan asing, jualan runcit dan nisbah hutang kerajaan.

“Ketika negara dihimpit krisis pandemik global luar biasa pada 2020 hingga 2021, Perdana Menteri kelapan, Muhyiddin Yassin bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan kepimpinan cekap dan tangkas melalui pakej bantuan.

“(Juga) dasar fiskal berani dan tindakan pantas menyelamatkan ekonomi serta nyawa rakyat. Semasa zaman pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di zaman Muhyiddin, tiada krisis beras tempatan. Sedangkan di zaman Anwar, harga beras import naik sehingga RM40 hingga RM45.

“Kartel-kartel beras dijangka mengaut keuntungan sehingga RM2 bilion daripada poket rakyat akibat kegagalan kerajaan Anwar menangani krisis kehilangan beras tempatan ini,” katanya.

Beliau berkata, semasa zaman PN, walaupun harga arang batu mencecah tertinggi (sekitar USD 450/ton pada September 2022) tiada kenaikan tarif kepada rakyat.

“Berbeza di zaman Anwar, walaupun menjanjikan akan menurunkan tarif elektrik, di saat harga arang batu jatuh lebih 55 peratus (sekitar USD 200/ton pada April 2023), tetapi surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) meningkat dan pada Julai 2025 tarif elektrik naik 13 peratus.

“Semasa zaman Muhyiddin, walaupun ekonomi dan kewangan negara berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19, kerajaan PN tidak mengambil wang daripada poket rakyat melalui penambahan cukai dan peningkatan kadar serta perluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Begitu banyak barangan dikecualikan SST berbanding sekarang, hampir 97 peratus barangan termasuk buah-buahan dan sektor yang tak pernah dikenakan SST dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebelum ini seperti Sektor Logistik dikenakan SST,” katanya.

Beliau berkata, zaman Muhyiddin diganggu pandemik, PKP, penutupan ekonomi dan kejatuhan dagangan antarabangsa yang tidak termasuk gangguan daripada Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Umno.

“Namun, beliau (Muhyiddin) tetap melancarkan pakej PRIHATIN dalam 27 hari sebagai PM, diikuti lebih RM530 bilion bantuan sepanjang pentadbirannya.

“Sebaliknya, Anwar mewarisi negara yang bebas pandemik, vaksinasi selesai dan ekonomi dunia yang terbuka, namun Anwar gagal mengekalkan momentumnya,” katanya.

Beliau berkata, berbanding zaman Muhyiddin dan Kerajaan PN yang dibelenggu pandemik dan tekanan ekonomi akibat PKP, jenayah di zaman Anwar dan kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) tetap tinggi.

“Jenayah Kekerasan dan Harta misalnya naik dari 50,813 (2022) ke 52,444 (2023) kes, peningkatan sebanyak lebih 3.2 peratus. Kes bunuh meningkat daripada 240 ke 258 (lebih 7.5 peratus) kes.

“Jenayah komersial melonjak lebih 32.1 peratus iaitu daripada 30,536 kepada 40,350 kes. Kes Penipuan atas talian meningkat lebih 35.5 peratus daripada 25,479 kepada 34,532.

“Kes bunuh diri tidak berkurangan, malah melonjak 81 peratus dan lebih 1,000 kes setahun,” katanya menyifatkan pengalaman Muhyiddin lebih terbukti berbanding Anwar dalam mengendalikan krisis.

Tegasnya, tidak syak lagi pengalaman dan rekod prestasi Muhyiddin yang panjang dalam kerajaan negeri dan Pusat merupakan antara faktor paling penting menjadikan beliau jauh lebih berjaya berbanding Anwar dalam mengendalikan krisis.

“Muhyiddin juga lebih ‘hands on’, fokus dan teliti untuk melantik anggota Jemaah Menteri yang lebih berkebolehan, berpengalaman dan mampu bekerja sebagai satu pasukan dan lebih banyak bekerja daripada bercakap (dan menyanyi dan berjalan ke sana sini) berbanding Anwar,” katanya.

Tambah beliau, Muhyiddin mempunyai lebih 40 tahun pengalaman pentadbiran dan pernah menjadi Menteri di sembilan kementerian besar di mana pernah menjadi Menteri Besar Johor pada tahun 1986 hinggs 1995.

“Setiausaha Parlimen Kementerian Luar, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Timbalan Menteri Perdagangan dan Industri, Menteri Belia dan Sukan (1995–1999), Menteri Perdagangan Dalam Negeri (1999–2004), Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2004–2008).

“Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) (2008–2009), Menteri Pendidikan (2009–2013), Menteri Dalam Negeri (2018–2020) sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri (2009–2015) dan Perdana Menteri kelapan (2020–2021).

“Sedangkan Anwar hanya mempunyai pengalaman sekitar 15 tahun pengalaman pentadbiran (1982–1998, 2022–2025), tiada pengalaman mentadbir negeri dan cuma pernah berada di lima buah kementerian sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.

“Iaitu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (1982–1983), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983–1984), Menteri Pertanian (1984–1986), Menteri Pendidikan (1986–1991) dan Menteri Kewangan (1991–1998),” katanya.

Oleh demikian katanya, Mohammed Taufiq sepatutnya sedar bahawa kegagalan Anwar yang semakin jelas iaitu defisit keyakinan kian parah, termasuk terbaru dalam Krisis Institusi Kehakiman.

“Sekiranya hari ini Usul Undi Tidak Percaya dibuat secara sulit dan bebas daripada sekatan whip bagi membolehkan semua Ahli Parlimen mengundi secara bebas mengikut kehendak mereka, pasti esok rakyat Malaysia boleh mendapat PM dan kerajaan baru.

“Ia lebih diyakini, fokus, cekap, berkemampuan mengendalikan krisis kewangan dan ekonomi, serta prihatin rakyat berbanding Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata, mentadbir negara, terutama ketika berhadapan dengan krisis ekonomi dan kewangan bukan sesuatu yang boleh dicuba-cuba.

“Ternyata kehendak pengundi PH yang ingin mencuba-cuba Anwar sebagai PM10 yang dibantu dengan penipuan Zahid dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, disokong pula oleh Ahli-ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan penasihat Raja-Raja Melayu tertentu.

“Akhirnya mengundang kekecewaan kepada diri mereka dan padah kepada rakyat dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2025

- Advertisement -