
KLUANG: Ketua Muslimat PAS Kawasan Kluang, Zarinah Ali menyifatkan pengumuman yang digambarkan sebagai ‘penghargaan luar biasa untuk rakyat Malaysia’ oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai satu gimik politik semata-mata.
Beliau berkata, pengumuman itu hadir pada waktu rakyat semakin tidak berpuas hati dengan prestasi dan hala tuju pentadbiran Kerajaan Madani, termasuk desakan supaya Perdana Menteri meletakkan jawatan yang semakin lantang di media sosial dan ruang awam.
“Kami tidak menolak kemungkinan bahawa pengumuman besar ini hanyalah satu lagi gimik politik bersifat sementara, bertujuan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu mendesak yang melanda negara ketika ini,” ujarnya dalam kenyataan.
Zarinah berkata, isu dimaksudkan termasuk kehidupan rakyat yang semakin terhimpit dengan kos sara hidup tinggi dan inflasi tidak terkawal, selain kelesuan ekonomi, ketidaktentuan dasar serta pelaburan terus merosot.
“Skandal demi skandal politik dan tadbir urus termasuk pelantikan berunsur kronisme turut mencemarkan semangat reformasi, selain kegagalan mengurus perbezaan dalaman dalam kerajaan campuran yang semakin jelas menggugat kestabilan,” jelasnya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia bukan lagi penonton pasif kepada drama politik yang tidak berkesudahan, malah kini semakin celik dan berani menyuarakan tuntutan agar kerajaan kembali kepada prinsip asas keadilan, integriti dan kepimpinan beramanah.
Sehubungan itu katanya, Dewan Muslimat PAS Kawasan Kluang mendesak supaya sebarang pengumuman yang dibuat bukan sekadar janji manis atau ‘gula-gula politik’ menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU).
“Apa jua pengumuman mestilah disusuli dengan tindakan konkrit, telus dan menyeluruh untuk memperbaiki keadaan negara.
“Jika Perdana Menteri benar-benar ingin menghargai rakyat Malaysia, maka langkah paling berani dan jujur ialah menilai semula kelayakan diri untuk terus memimpin atau memberi laluan kepada kepimpinan yang lebih kompeten dan berwibawa.
“Langkah berundur adalah jawapan terbaik untuk masa hadapan rakyat Malaysia,” katanya menegaskan tetap konsisten mendukung perjuangan rakyat, menyuarakan kebenaran dan memperjuangkan keadilan dalam kerangka Islam yang syumul dan menyeluruh. – HARAKAHDAILY 16/7/2025











