
KUALA LUMPUR: Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali menyifatkan tindakan kerajaan menangani isu krisis kehakiman negara sebagai satu bentuk ‘tai chi’, gerakan lembut dan lambat yang memperdaya rakyat daripada memahami hakikat sebenar.
Beliau berkata, sebagaimana seni bela diri dari Tiongkok itu yang memukau dan membuat penonton terpaku tanpa mengetahui gerakan seterusnya, begitulah sandiwara yang kini disajikan kepada rakyat berhubung kemelut pelantikan Ketua Hakim Negara.
“Semalam, Perdana Menteri (PMX) umum supaya jangan terpedaya dengan pihak-pihak yang sengaja cetus masalah dan menyatakan bahawa Majlis Raja-raja akan umum pelantikan Ketua Hakim Negara,” ujarnya dalam kenyataan di media sosial miliknya hari ini.
Rafique turut mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said, yang menyebut keperluan menghalusi semula Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
“Azalina secara serius kata bahawa ramai hakim telah dilantik sejak 2009 ikut prosedur JAC, tapi entah mengapa kali ini ramai persoal. Tambahnya, mungkin perlu lihat proses pelantikan negara luar,” terangnya.
Beliau juga membidas kenyataan bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali, yang mengecam kumpulan peguam dan aktivis yang berarak dari Istana Kehakiman ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) baru-baru ini.
“Apandi kata mereka hipokrit. Nasihat saya pada beliau, elok selesai kes sendiri dulu. Mahkamah sudah dapati beliau gagal laksana tugas sebagai Peguam Negara dengan baik.
“Malah Apandi yang guna carta alir konon Najib Razak tidak bersalah, terbukti silap kerana carta alir itu juga akhirnya perangkap Najib dalam kes SRC,” jelasnya.
Rafique turut mengingatkan rakyat bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri adalah satu-satunya pihak yang berkuasa memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam pelantikan hakim-hakim atasan.
“Yang mesti ada ialah rundingan dengan Majlis Raja-raja, dan yang mesti ada juga adalah nasihat Perdana Menteri kepada YDPA. Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa nasihat Perdana Menteri perlu diikuti,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa isu sebenar adalah wujudnya konflik kepentingan yang ketara.
“PMX ada kes, dia juga beri nasihat. Itu konflik. Isu ini perlu dia diamkan. Maka dia ‘tai chi’. Azalina bantu ‘tai chi’. Apandi pula mainkan muzik masa ‘tai chi’. Wahai rakyat, jangan terpukau dan terpegun,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2025











