1,000 peluang pekerjaan sektor rel menanti rakyat

Muhammad Rashdan (dua dari kiri), Sulaiman, Nurkhuzaini, Muhammad Basir dan Nurul Adilah bergambar selepas sesi menandatangani MoU di Wisma Darul Iman
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Hampir 1,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan di Terengganu bagi menyokong pembangunan sektor rel, khususnya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka mula beroperasi pada awal 2027.

- Advertisement -

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, peluang tersebut hasil kerjasama strategik menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai antara Terengganu Skills Development Centre Berhad (Terengganu Skills), Malaysia Rail Development Corporation (MRDC), serta Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd.

Menurut beliau, usaha itu merupakan langkah proaktif dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan industri, di samping memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di negeri ini.

“MoU yang dimeterai melambangkan komitmen teguh semua pihak dalam melahirkan tenaga kerja kompeten, berdaya saing serta selaras dengan keperluan industri semasa, Terengganu Skills kekal komited dalam menyediakan pendidikan berasaskan TVET menyeluruh dan relevan.

“Kerjasama dengan MRDC selaku Industry Lead Body bagi sektor rel di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan diyakini akan membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia, terutamanya dalam bidang latihan industri, pembangunan kemahiran serta penempatan pekerjaan dalam sektor pengangkutan rel,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri itu berkata demikian ketika merasmikan majlis menandatangani MoU berkenaan di Wisma Darul Iman, di sini,hari ini.

Turut hadir Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC, Sulaiman Sulong dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Skills, Mohd Rashdan Muda serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MRDC, Nurul Adilah Abdul Rahim dan Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan dan Pengurusan Fasiliti Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd, Muhammad Basir Embong.

Mengulas lanjut beliau berkata, langkah proaktif yang diambil oleh Terengganu Skills amat bertepatan dalam usaha mempersiapkan modal insan tempatan bagi menyokong pelaksanaan projek berskala besar seperti ECRL.

“Kerjasama strategik ini bukan sahaja akan membolehkan MRL memperoleh tenaga kerja yang mahir dan berpotensi, malah akan turut memperkukuh daya saing sektor rel negara secara keseluruhan,” katanya.

Kata beliau, MoU antara Terengganu Skills dan Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd juga menampilkan pelbagai inisiatif penting yang merangkumi kerjasama dalam aspek pengagihan zakat kepada pelatih asnaf yang mengikuti kursus di Terengganu Skills.

“Selain itu, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta sumbangan kepakaran dalam bidang automotif untuk meningkatkan keupayaan logistik syarikat turut akan direalisasikan.

“Saya percaya sinergi antara Terengganu Skills dan Sabasun HyperRuncit ini akan memberi impak positif bukan sahaja dari aspek pembangunan komuniti setempat, bahkan turut menambah nilai kepada penjenamaan dan daya saing kedua-dua organisasi,” katanya.

Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan kerjasama tersebut.

“Semoga jalinan kerjasama yang terbentuk hari ini akan terus berkembang serta memberi manfaat berpanjangan kepada rakyat negeri Terengganu dan negara amnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2025

- Advertisement -