Poster seakan sama tetapi penuh dengan penjelasan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Poster sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPNK) 2025 dilihat seakan-akan pengumuman yang dijangka dibuat oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Gambar dikongsi Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail itu ditulis ‘akan kembali suatu penghargaan untuk peladang, penternak dan nelayan Kelantan bersama pada 20-24 Ogos di Pantai Irama Bachok’.

Sementara itu dalam keterangan gambar, beliau menjelaskan pengiktirafan itu sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPNK) 2025 pada 20-24 Ogos di Pantai Irama Bachok.

“Sukacita dimaklumkan bahawa sambutan HPPNK 2023 akan diadakan pada 20 hingga 24 Ogos 2025 di Pantai Iramai Bachok Kelantan, merupakan satu penghargaan kepada peladang penternak dan nelayan Kelantan.

“Sehubungan dengan itu, penternak yang berminat adalah dijemput untuk menyertai pertandingan Lembu Hibrid sempena HPPNK pada kali ini,” kata beliau dalam satu catatan menerusi Facebook hari ini.

Pihak penganjur HPPNK 2025 membuka lapan kategori pertandingan lembu hibrid sebagai salah satu langkah untuk menyatakan penghargaan penternak yang komited untuk mengangkat martabat sektor itu.

Borang penyertaan boleh didapati dalam talian atau diambil Pejabatan Perkhidmatan Veterinar Jajahan dan dihantar kepada Seksyen Teknologi Pembiakan dan Pembakaan selewat-lewatnya pada 3 Ogos.

Kali ini HPPNK 2025 membuka penyertaan lapan kategori iaitu Pejantan Unggul, Pejantan Dogol Unggul, Induk Comel, Induk Dogol Comel, Anak Muda Jantan, Anak Muda Betina, Anak Jantan dan Anak Betina.

Media sebelum ini melaporkan satu pengumuman penting yang bakal dibuat oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai penghargaan luar biasa akan diberikan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, tiada penjelasan diberikan secara terperinci mengenai pengumuman yang bakal dilakukan, malah ada yang menganggap ia mungkin satu kejutan yang tidak diduga sebelum ini. – HARAKAHDAILY 16/7/2025

- Advertisement -