
KUALA LUMPUR: Malaysia digesa menyatakan pendirian rasmi terhadap pencalonan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang sehingga pagi ini masih belum dinyatakan, tegas Pengarah Komunikasi Strategik Pemuda PAS Malaysia.
Nazrul Nazir berkata, mengikut Artikel 4(1) Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Diplomatik 1961 (VCDR), negara pengirim seperti AS mesti terlebih dahulu mendapatkan ‘agreement’ (persetujuan rasmi) daripada negara penerima, iaitu Malaysia, sebelum melantik duta mereka.
Katanya, undang-undang Malaysia juga menetapkan bahawa semua pelantikan duta asing mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.
“Jika duta tersebut tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka beliau tidak boleh dilantik kerana tiada ‘agreement’ dari negara penerima,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sekiranya Malaysia ingin menolak pelantikan Nick Adams sebagai Duta AS, langkah itu boleh dilakukan tanpa sebarang halangan dari segi undang-undang.
“Malah, Artikel 4(2) VCDR memperuntukkan bahawa negara penerima tidak wajib memberikan sebarang alasan jika menolak calon yang dicadangkan,” tegasnya.
Beliau berkata, tindakan menolak calon duta bukan perkara baharu kerana Venezuela pernah menolak pencalonan Larry Palmer sebagai Duta AS ke negara itu pada 2010.
Manakala jelasnya, AS sendiri pernah menolak ‘agreement’ terhadap calon duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Hamid Aboutalebi, serta menghalang beliau memasuki negara itu pada 2014.
Nazrul menegaskan, berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa, setiap negara mempunyai kedaulatan penuh dan berhak menentukan siapa yang boleh hadir serta mewakili kuasa asing dalam wilayahnya.
“Oleh itu, Malaysia wajar menyatakan pendiriannya dan menolak terus kemasukan individu ini ke Malaysia, yang secara jelas mempunyai prinsip dan moral yang bertentangan dengan dasar serta pegangan negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2025











