
PERDANA Menteri (PM) Anwar Ibrahim katanya akan buat satu pengumuman besar sebagai ‘penghargaan luar biasa’ untuk rakyat Malaysia. Orang kampung, orang bandar, anak muda, semua tertanya-tanya… penghargaan apa sebenarnya? Bukan main gah bunyinya. Ramai yang mula berangan mungkin harga minyak turun, harga barang turun atau hutang PTPTN lupus? Atau subsidi bertambah? Tapi biasalah… orang kita dah lali dengan janji. Harapnya kali ni betul-betul ada sinar, bukan sekadar ucapan yang akhirnya tak bawa apa-apa ke meja makan.
Kos hidup: Makin mahal, nafas makin pendek
erita pasal kos sara hidup ni, tak payah cakap panjang. Semua orang rasa. Masuk pasar malam, barang satu bakul kecil pun habis RM100. Nak makan ikan, kena pilih nak ikan kembung atau makan telur rebus saja minggu ni? Sewa rumah tak turun. Gaji masih tempat yang sama. Pendek kata, setiap hari keluar rumah macam keluar duit. Balik rumah, rasa nak menangis depan bil peti surat.
Rakyat harap sangat pengumuman PM kali ni bukan sekadar slogan ‘demi rakyat’. Orang nak dengar langkah konkrit, langkah betul-betul turun ke dapur rumah rakyat. Tak kisahlah bantuan tunai ke, subsidi barang dapur ke, atau paling tidak kawalan harga barang asas. Rakyat bukan harap banyak sangat, cuma mahu hidup rasa kurang sikit beban. Nak beli susu anak tanpa kira harga. Nak isi minyak motor tanpa tengok baki akaun bank. Itu pun dah cukup bagi ramai orang.
Dan masalahnya, bila cerita pasal gaji… orang muda baru kerja pun gaji cukup-cukup makan. Nak menabung jauh sekali. Hutang PTPTN pula mula ketuk pintu. Siapa sangka? Orang yang baru habis belajar, baru kerja, sudah terima surat saman sebab hutang lama. Bayangkan baru nak mula hidup, sudah diugut mahkamah. Dulu masa kempen, kata nak lupuskan hutang PTPTN, nak bantu anak muda. Katanya muka saya malu kalau jadi Perdana Menteri anak orang miskin berhutang nak masuk universiti, tahukah dia berapa ramai anak orang miskin yang batalkan niat, tolak surat tawaran kerana tak yakin mampu untuk masuk universiti?
Sebab itulah ramai tunggu-tunggu pengumuman besar ni. Harap sangat ada berita pasal PTPTN , paling tidak tangguh bayaran sampai gaji masuk akal. Kalau kerajaan umum hapus hutang PTPTN B40, percayalah ramai akan rasa kerajaan ni betul-betul faham derita rakyat. Tapi kalau sekali lagi sekadar janji, orang muda akan putus harap.
Minyak dan elektrik: Barang naik, rakyat makin tertekan
Cerita minyak ni pun satu hal. Siapa yang tak ingat dulu-dulu, Anwar laungkan janji, ‘Kalau saya jadi PM, esok harga minyak turun’. Sampai ada orang ulang-ulang, macam lagu. Tapi hari ini? Harga RON95 masih RM2.05 seliter. Harga diesel naik mencanak Itu belum kira pelaksanaan subsidi bersasar yang disebut-sebut… RON 95 menunggu giliran. Tak naik sekarang, ya. Tapi tak turun juga sebagaimana ‘saya ulang’. Bila sebut subsidi bersasar, rakyat dah mula gelisah.
Masalahnya, minyak naik semua benda naik. Tambang bas naik, harga sayur naik, barang dapur ikut sama. Itu baru cerita minyak. Masuk bulan Julai ni, satu lagi berita sampai tarif elektrik dinaikkan. Dulu kita dengar cerita ICPT, sekarang diganti dengan AFA, pendek kata, bil elektrik kita boleh naik turun ikut suka kerajaan tiap-tiap bulan. Tarif asas dah sah naik dari 39.95 sen kepada 45.40 sen sekilowatt jam. Guna banyak sikit, bil melambung.
Bukan tak ada rebat katanya. Ada. Tapi cuba tanya orang rumah, bil elektrik naik RM10 pun dah rasa tercekik. Tambah pula sekarang ada caj kapasiti, caj rangkaian, caj runcit… semuanya asing-asing dalam bil. Orang kampung bukan semua faham makna istilah teknikal ni. Apa mereka tahu, bil bulan ni lebih mahal dari bulan lepas.
Ada skim Time-of-Use juga, kononnya suruh kita guna elektrik masa luar waktu puncak. Tapi siapa yang boleh jimat begitu? Orang kerja ofis siang, malam baru balik rumah. Nak suruh tutup kipas, tutup lampu pukul 8 malam? Logik ke? Rakyat takut akhirnya semua ni alasan sahaja hujungnya bil tetap naik.
Rakyat cuma nak satu kerajaan dengar keluhan mereka. Kalau ada rebat, umumkan. Kalau ada bantuan, cepatkan. Jangan cakap ‘guna waktu luar puncak’ bila bil tetap mencanak naik.
Mahkamah dan undang-undang: Jangan ada cerita dua darjat
Cerita undang-undang ni mungkin tak semua orang peduli. Tapi bila rakyat dengar kes orang besar digugurkan, orang kecil pula asyik kena dakwa, mulalah orang bercakap. Di pasar malam, di kedai kopi… orang tanya kita ni ada undang-undang ke, atau undang-undang ni untuk orang tertentu saja?
Dulu masa pilihan raya, kerajaan janji. Nak asingkan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara. Kononnya nak elak campur tangan politik dalam kes mahkamah. Tapi sampai hari ni, senyap. Janji tinggal janji.
Orang politik kerajaan? Kadang-kadang kes senyap begitu saja. Lawan politik kerajaan? Silap-silap masuk mahkamah bertali arus. Ini yang buat rakyat rasa undang-undang negara kita macam ada dua set.
Tambah pelik, kerusi Ketua Hakim Negara yang kosong dibiarkan terus sunyi, seolah-olah membenarkan semua bisik-bisik dan cerita belakang tabir yang semakin lantang diperkatakan, bukan lagi rahsia . Sampai ribuan peguam turun berarak depan pejabat Perdana Menteri. Mereka tuntut jawatan tu diisi segera, ikut prosedur, ikut syor, bukan ikut siapa yang pegang kuasa di belakang.
Rakyat tak minta lebih. Mereka cuma nak tengok undang-undang ni adil untuk semua. Kalau orang bawah buat salah, hukum. Kalau orang atas buat salah, jangan pula kes ghaib di hujung terowong.
Semua rakyat mahukan negara ini ‘negara hukum’, bukan negara ‘boleh runding’.
Apa nak jadi dengan pengumuman ini?
Esok lusa, bila pengumuman besar dibuat, rakyat akan buka telinga. Mereka akan menanti, sambil berkata dalam hati, kali ini benar-benar ada berita baik, atau sekadar ucapan anwar seperti sekala? Segala harapan dari isu dapur rumah sampai ke ruang mahkamah sekarang diletakkan di bahu kerajaan.
Kalau pengumuman ini benar-benar memikirkan rakyat, kerajaan akan dipuji. Kalau sebaliknya, jangan pelik kalau esok makin viral hashtag di media sosial ‘Anwar Turun’. Rakyat sudah letih dijanjikan bulan dan bintang. Sekarang, mereka cuma mahu satu perkara: bukti, bukan janji.
DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa – HARAKAHDAILY 16/7/2025











