
KUALA LUMPUR: Krisis pelantikan dalam institusi kehakiman negara tidak boleh dipandang ringan, malah mahasiswa undang-undang perlu lebih peka dan cakna terhadap perkembangan semasa yang melibatkan integriti sistem perundangan negara.
Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, mahasiswa yang bakal bergelar peguam satu hari nanti perlu menyedari bahawa pembelajaran di kuliah semata-mata tidak mencukupi jika sistem kehakiman negara tidak berada dalam keadaan sihat.
“Kepentingan mahasiswa nak faham dan menuruti perkembangan pada hari ini dan yang lain amat penting sama macam apa yang mereka belajar dalam mata pelajaran dan subjek-subjek undang-undang di kuliah
“Ini lebih penting iaitu apa yang mereka belajar selama tempoh empat tahun nanti dan dapat ijazah untuk menjadi peguam. Adakah keadaan guaman dan sistem kehakiman dalam keadaan yang sihat?
“Sebab itu mahasiswa perlu cakna dan peka dengan perkembangan berlaku di satu negara terutama berkaitan dengan pelantikan kehakiman yang sepatutnya kerusi-kerusi suci yang tidak boleh dinodai oleh mana-mana pihak eksekutif,” katanya dalam suatu kenyataan, pada Selasa.
Beliau berkata, isu utama ketika ini ialah kelewatan dalam proses pelantikan dua jawatan tertinggi kehakiman susulan persaraan dua orang hakim kanan pada 2 dan 3 Julai lalu.
“Jadi apakah isu pada hari ini? Isu ini adalah kerana seperti yang kita tahu dua orang hakim terlampau kanan yang paling tinggi telah bersara pada 2 dan 3 Julai yang mana sepatutnya diketahui oleh satu sistem negara lama dulu.
“Tetapi tidak ada usaha-usaha yang memberangsangkan yang dilakukan oleh Pejabat Perdana Menteri kerana Perdana Menterilah satu-satunya kerusi yang boleh mencadangkan nama kepada Agong dan Majlis Raja-Raja.
“Jadi persoalannya kenapakah ia dilewat-lewatkan? Adakah sebab cuai, abai ataupun sengaja dilewatkan dan diabaikan,” persoalnya.
Tambah beliau, mahasiswa perlu mengambil serius perkembangan itu kerana mereka bakal memainkan peranan penting dalam mempertahankan integriti sistem kehakiman pada masa depan.
“Jadi inilah perkara yang penting untuk kita semua sama ada kami sebagai peguam yang dah bertauliah mahupun pelajar-pelajar atau ahasiswa-mahasiswa yang akan masuk menjadi peguam-peguam.
“Ketahui apakah perkembangan semasa supaya mereka kemudian nanti boleh ambil langkah-langkah yang betul untuk membantu, menentukan sistem kehakiman dan perundangan sentiasa sihat Insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, Badan Peguam Malaysia menyertai Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman bermula dari Istana Kehakiman, Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri.
Perarakan sejauh 2.6 kilometer bermula jam 2 petang pada Isnin lalu berakhir dengan penyerahan memorandum mengandungi empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri.
Tuntutan itu termasuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman dan mendedahkan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini.
Juga membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat campur tangan kehakiman dan menangani kekosongan keseluruhan kehakiman. – HARAKAHDAILY 16/7/2025











