
ALOR SETAR: Bertemakan ‘Memperteguh Generasi Sejahtera’, Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh peranan anak muda dalam lanskap perjuangan Islam dan politik tanah air.
Muktamar Dewan Pemuda PAS negeri yang berlangsung di Pendang Lake Resort semalam menyaksikan peralihan kepimpinan baharu bagi sesi 2025-2027, dengan tekad untuk membawa suara anak muda ke tahap lebih berkesan dan inklusif.
Ketua Pemuda PAS Kedah, Ku Abdul Muhyi Ku Abdul Hamid, menegaskan iltizam untuk menggandakan usaha dalam meraih sokongan khususnya dalam kalangan generasi muda kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.
Beliau menekankan kepentingan memperluaskan jangkauan program-program mendekati anak muda, merangkumi pelbagai latar dan segmen masyarakat, agar suara pemuda benar-benar menjadi cerminan nadi rakyat terbanyak.
“Pemuda PAS Kedah mesti menjadi suara anak muda yang bukan hanya lantang, tetapi juga berhemah, mendidik dan mendekatkan masyarakat kepada Islam dan perjuangan kita. Kita bukan sekadar gerakan politik, kita adalah duta dakwah, agen perubahan dan pewaris kepimpinan masa depan,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.
Selain itu, beliau turut menyatakan kesungguhan untuk menjadikan Pemuda PAS sebagai agen yang efektif dalam menyampaikan informasi dan pencapaian kerajaan negeri secara tepat dan telus kepada masyarakat.
Ku Abdul Muhyi turut menggariskan kepentingan membina kekuatan dalaman jentera pemuda di semua peringkat agar dapat berfungsi dengan lebih tersusun dan berstrategi dalam menghadapi pelbagai cabaran.
Menurutnya lagi, Pemuda PAS Kedah harus tampil sebagai duta dakwah yang mampu menyantuni masyarakat dengan pendekatan yang berhikmah, dalam usaha menarik lebih ramai mendekati PAS sebagai wadah perjuangan Islam yang syumul.
Turut diumumkan dalam muktamar tersebut ialah pemilihan Ahmad Hamadah Mohamad Shauki sebagai Timbalan Ketua Pemuda, manakala jawatan Naib Ketua Pemuda disandang oleh Ku Ahmad Mukhlis Ku Md Ali.
Muktamar kali ini bukan sahaja menjadi medan pemilihan, tetapi turut menjadi platform penting untuk memperbaharui tekad dan arah tuju perjuangan, demi memastikan Pemuda PAS terus menjadi benteng utama mempertahankan Islam dan rakyat, serta memacu Kedah ke arah lebih sejahtera. – HARAKAHDAILY 13/7/2025











