Manfaatkan cuti semester: Perkukuhkan manhaj tarbiyah anak muda

- Advertisement -

CUTI semester seringkali dianggap sebagai masa untuk berehat, melancong atau bersantai selepas penat bergelut dengan peperiksaan dan tugasan. Namun bagi anak-anak muda yang berada dalam jalan dakwah dan tarbiyah, cuti semester adalah satu peluang keemasan untuk memperkukuh manhaj tarbiyah [1] yang selama ini mungkin longgar dek kesibukan akademik. Artikel ini membentangkan lima poin penting dan praktikal yang boleh diamalkan untuk memastikan cuti ini menjadi medan peningkatan diri dan bukannya masa untuk hanyut dalam kelalaian.

1. Muraqabatullah dan disiplin ruhiyah.

Asas kepada tarbiyah adalah hubungan yang kuat dengan Allah SWT. Maka, cuti ini seharusnya menjadi medan untuk memperkukuhkan disiplin ruhiyah. Tetapkan satu rutin harian yang tetap, antaranya bangun malam untuk qiamullail, membaca tilawah sekurang-kurangnya satu juzuk atau beberapa halaman, serta melazimi solat berjemaah di masjid. Jika tidak mampu semua, jangan tinggalkan semua.

- Advertisement -

Untuk panduan dan semangat, gunakan buku-buku tarbawi seperti Tazkiyatun Nafs atau Bekalan Mukmin yang membicarakan soal penyucian hati, keikhlasan amal, serta sifat-sifat seorang mukmin. Buku ini boleh dijadikan bahan tadabbur ringan setiap pagi atau malam, sama ada secara individu atau bersama ahli keluarga.

2. Pengisian ilmu dan fikrah.

Ilmu dan fikrah adalah dua tunjang penting dalam membina kefahaman dan keutuhan seorang daie. Gunakan cuti ini untuk membaca dan menghayati buku-buku tarbawi yang membentuk pemikiran Islam. Antara yang disarankan termasuk Risalah Usul 20 oleh Imam Hassan Al-Banna, Ma’alim fit Toriq oleh Sayyid Qutb, Fi Zilalil Quran, serta Siyasah Syar’iyyah oleh Ibn Taimiyyah.

Selain membaca, ambil peluang untuk menyertai halaqah ilmu, liqa’ fikri, atau usrah online yang kini mudah diakses melalui Zoom atau Google Meet. Jika boleh, rancang bersama naqib atau naqibah untuk menetapkan satu topik seminggu (seperti konsep syura, adab berjamaah, atau isu semasa) dan bincang bersama dalam sesi perbincangan ringan. Ini akan membantu menghidupkan budaya fikir dan zikir secara seimbang.

3. Projek khidmat jamaah.

Manhaj tarbiyah bukan hanya dalam bentuk ilmu dan ibadah, tetapi juga melalui amal jamaie seperti berkhidmat untuk masyarakat dan jemaah. Anak muda boleh menyertai aktiviti-aktiviti anjuran PAS Kawasan, Jabatan Amal, Ameerah, PASTI atau NGO Islamik lain. Carilah ruang untuk menyumbang, walaupun kecil.

Contohnya, bantu dalam urusan program korban di masjid, menjadi fasilitator kelas fardhu ain kanak-kanak, atau membantu urusan dokumentasi program. Jika ada pengalaman, tawarkan diri untuk jadi MC, pengacara majlis, atau membantu bahagian teknikal. Apa yang penting, tanamkan sikap petugas dan bukan sekadar peserta pasif.

4. Latihan dakwah dam kepimpinan

Cuti ini juga adalah peluang terbaik untuk melatih diri berdakwah dan memimpin dalam skala kecil. Mungkin boleh mula dengan mini usrah bersama adik-beradik atau rakan-rakan kampung. Tidak perlu besar atau formal asalkan cukup dengan bacaan surah pendek dan tadabbur ringkas, diikuti sesi perkongsian nilai Islam yang mudah difahami.

Latih juga diri membuat tazkirah pendek, mencipta poster dakwah di media sosial, atau merancang tazkirah Maghrib di surau kampung. Bagi yang aktif dalam usrah, boleh minta naqibah atau naqib untuk memberi tugasan praktikal contohnya seperti membuat pembentangan atau ulasan buku yang dibaca sepanjang cuti. Aktiviti sebegini bukan sahaja mengasah bakat kepimpinan, malah memperkukuh keyakinan diri dalam menyampaikan Islam.

5. Jaga masa, jaga ukhuwah.

Akhir sekali, penting untuk menjaga masa sepanjang cuti agar tidak hanyut dalam dunia hiburan yang tidak bermanfaat. Jauhi tabiat melampau seperti menonton drama berjam-jam, bermain game tanpa kawalan, atau scrolling media sosial hingga tiada had masa. Sebaliknya, cipta dan susun satu jadual cuti tarbawi yang seimbang iaitu ruang untuk ibadah, ilmu, amal dan rehat.

Gunakan masa juga untuk memperkukuh ukhuwah. Ziarah sahabat-sahabat lama, adakan outing yang bermanfaat, atau sekadar telefon rakan sefikrah untuk bertanya khabar. Ukhuwah yang hidup adalah sumber kekuatan rohani yang tidak ternilai bagi setiap dai’e.

Penutup

Cuti semester bukan hanya masa rehat, tetapi juga medan pembinaan. Dengan sedikit usaha dan perancangan, anak muda boleh menjadikan cuti ini sebagai fasa penting untuk memperkukuh manhaj tarbiyah dalam diri. Gabungan disiplin ruhiyah, pengisian fikrah, khidmat masyarakat, latihan dakwah dan pengurusan masa akan membentuk seorang individu yang lebih bersedia untuk meneruskan perjuangan selepas kembali ke kampus. Jangan biarkan cuti berlalu tanpa nilai. Isilah ia dengan makna.

Oleh:

DR Z
Jurutera Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)

Sumber Asal: https://www.facebook.com/share/p/1AfjWoNgdZ/

Rujukan:

[1] Ahli PAS wajib miliki Manhaj Tarbiyah
https://harakahdaily.net/2017/10/ahli-pas-wajib-miliki-manhaj-tarbiyah/HARAKAHDAILY 13/7/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -