Kos pinjaman wajar diturunkan selaras OPR

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Institusi perbankan disaran segera menurunkan kadar pinjaman bagi semua jenis pembiayaan susulan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, walaupun beberapa bank komersial utama telah mengumumkan penurunan kadar asas masing-masing, langkah itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan segera bagi membantu rakyat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang semakin tersepit.

“Ini sebagai langkah positif yang dapat memberi kelegaan kepada isi rumah dan PKS. Pada masa kini, kos sara hidup yang semakin meningkat telah menyebabkan rakyat berada dalam kesempitan yang amat dirasai,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, beberapa bank seperti Bank Islam, RHB, Affin, Public Bank, Alliance dan Maybank telah mula menurunkan kadar asas termasuk Kadar Asas Standard (SBR), kadar asas (BR), Kadar Asas Pembiayaan (BFR) dan Kadar Pinjaman Asas (BLR) sebanyak 0.25 peratus secara berperingkat antara 10 hingga 15 Julai.

Menurutnya, penurunan kadar itu penting bagi membantu rakyat yang kini berdepan kesukaran memenuhi keperluan asas termasuk bayaran ansuran, pendidikan dan penjagaan kesihatan, selain cabaran kewangan dihadapi PKS akibat tekanan kos operasi dan ekonomi global.

“Semua bank perlu mengambil tanggungjawab moral dan sosial untuk menurunkan kadar pinjaman serta-merta bagi pinjaman perumahan, pembiayaan peribadi dan pinjaman perniagaan,” katanya.

Tambahnya, manfaat penurunan OPR oleh BNM hanya akan dirasai sepenuhnya jika institusi kewangan melaksanakannya dengan telus dan tanpa kelewatan.

“Institusi perbankan tidak boleh hanya mengejar keuntungan semata-mata. Mereka harus memainkan peranan sebagai pemangkin sokongan kewangan dalam situasi mencabar seperti ini,” tegasnya.

Justeru, beliau turut menggesa BNM memastikan pematuhan sepenuhnya oleh semua bank, manakala Kementerian Kewangan serta agensi berkaitan perlu memantau kesan langsung langkah ini terhadap kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 11/7/2025

- Advertisement -