Usia 100 tahun: Disiplin, rahsia kekuatan Tun M

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Genap 100 tahun usia, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bukan sahaja mencatat sejarah sebagai tokoh politik paling lama memimpin negara, malah terus menjadi inspirasi dengan kesihatan dan ketajaman minda yang luar biasa.

- Advertisement -

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad, Dato’ Ridza Abdoh Salleh berkata, rahsia utama kekuatan dan ketahanan Tun Mahathir terletak pada satu prinsip asas yang konsisten dalam kehidupannya iaitu disiplin.

“Saya pernah menyaksikan sendiri bagaimana Tun mempengerusikan mesyuarat. Masuk tepat pada masa, tenang ketika bercakap, tidak pernah meninggikan suara, tetapi setiap patah katanya penuh isi dan bernas.

“Suasana dalam bilik mesyuarat sangat tertib, semua fokus seolah-olah jika sebatang jarum jatuh pun pasti akan kedengaran,” katanya.

Tambah beliau, Tun Mahathir bukan sekadar pemimpin berani membuat keputusan besar, tetapi seorang yang sangat teliti, mendalami isu secara menyeluruh dan memastikan setiap dasar berasaskan fakta dan kajian.

“Banyak inisiatif yang kita nikmati hari ini, tren tanpa pemandu, sistem Touch ‘n Go, pembinaan lebuh raya moden lahir daripada visi beliau. Malangnya, ramai tidak tahu semua itu berasal daripada pemikiran Tun kerana beliau tidak pernah menguar-uarkan jasa sendiri,” katanya.

Ridza berkata, pengalaman bekerja dengan Tun Mahathir membuatkan beliau sedar bahawa kejayaan sebenar bukan bergantung kepada kekayaan atau kedudukan, tetapi kepada sikap dan amalan hidup yang konsisten.

“Tun tidak mengejar glamor, beliau tidak perlu pujian. Tetapi beliau mengajar kita bahawa jika mahu menyumbang kepada negara, kita mesti bermula dengan mendisiplinkan diri dari masa, bacaan, kesihatan, kerja hingga pemikiran,” jelasnya.

Sebagai tokoh yang pernah melalui pelbagai fasa sejarah negara daripada era pasca-penjajahan, perindustrian, krisis kewangan hinggalah kepada reformasi politik Tun Mahathir kekal relevan kerana kekuatan dalaman dibina berasaskan disiplin tinggi.

“Tun tidak pernah takut dikritik, kerana bagi beliau itu sebahagian daripada harga yang perlu dibayar oleh seorang pemimpin. Dan beliau membayarnya dengan penuh rela,” tambah Ridza.

Tun Dr Mahathir Mohamad dilahirkan pada 10 Julai 1925 dan telah dua kali menerajui negara sebagai Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 2003 dan sekali lagi dari 2018 hingga 2020.

Kini di usia 100 tahun, beliau masih aktif menulis, memberi pandangan dan mengikuti isu-isu negara dengan penuh semangat bukti bahawa usia hanyalah angka apabila disiplin menjadi gaya hidup. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -