
KUALA LUMPUR: Penduduk Kampung Sungai Baru akan mengadakan satu protes awam esok bagi membantah tindakan kerajaan yang dikatakan merampas tanah mereka secara paksa melalui Akta Pengambilan Tanah 1960.
Pengerusi Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru, Zainab Alias berkata, pengambilan secara paksa itu telah dilakukan ke atas tanah milik penduduk yang tidak bersetuju dengan terma dan syarat dikenakan pemaju.
“Pihak kerajaan telah mengabaikan proses rundingan yang sepatutnya dijalankan dengan penduduk dan sebaliknya menggunakan kaedah pengambilan paksa yang menafikan hak pemilik tanah.
“Tiada orang yang waras akan mengatakan bahawa tindakan ini adalah adil atau saksama. Di Malaysia, tiada sesiapa pun sepatutnya dirampas tanah mereka secara paksa melalui undang-undang yang tidak adil,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, penggunaan Seksyen 3(1)(c) Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah bercanggah dengan Perlembagaan dan menindas penduduk, justeru mereka menuntut agar undang-undang berkenaan dimansuhkan.
Zainab dalam pada itu memohon agar Akta Pembaharuan Bandar (URA) yang akan memberi kebenaran untuk merampas hartanah tanpa persetujuan penuh pemilik supaya dikaji semula.
“Kami menyeru semua yang prihatin, termasuk individu, organisasi, persatuan, NGO, aktivis dan parti politik untuk turut serta bersama kami dalam protes ini menentang ketidakadilan yang amat serius ini.
“Perjuangan ini bukan sahaja untuk manfaat kami. Tetapi juga untuk semua rakyat Malaysia. Inisiatif ini adalah demi mempertahankan dan melindungi hak milik hartanah setiap individu di negara ini.
“Protes ini akan dijalankan secara aman dan selaras dengan hak untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Protes itu dijadualkan bermula jam 2 petang dengan perarakan dari Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru menuju ke pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) di Jalan Sultan Ismail. – HARAKAHDAILY 10/7/2025











