Sistem parkir palang ditangguh, ambil kira aduan rakyat

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem parkir palang atau Smart Parking yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) selama enam bulan, berkuat kuasa serta-merta.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keluhan dan aduan rakyat mengenai pelbagai masalah yang timbul sepanjang tempoh pelaksanaan sistem berkenaan, meskipun ia belum dikuatkuasakan sepenuhnya.

“Maknanya keselesaan kepada pengguna itu masih belum memuaskan. Kita tengok dari segi lorong masuk yang sepatutnya tidak menyusahkan pemandu. Dari segi aplikasi pula, mungkin perlu ditambah kaedah lain seperti kad Touch ’n Go dan kaedah lain yang lebih mudah,” katanya.

Makluman tersebut dinyatakan beliau dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMK) di Kompleks Seri Putra, di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang menegaskan bahawa, meskipun sistem ini bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan parkir dan hasil negeri, kerajaan negeri tetap mengutamakan keselesaan rakyat.

“Buat masa ini, kita minta supaya penggunaan sistem parkir ini ditangguhkan dahulu sehingga benar-benar selesa dan pihak kerajaan negeri berpuas hati. Barulah boleh diteruskan, Insya-Allah,” ujar beliau lagi.

Menurut beliau, penangguhan ini akan memberi ruang kepada MPK dan syarikat pengendali untuk meneliti semula pelaksanaan sistem serta melakukan penambahbaikan yang diperlukan.

Menurut beliau, sekiranya isu berbangkit dapat diselesaikan lebih awal, tempoh penangguhan mungkin dipendekkan dan kerajaan negeri juga akan mengkaji semula lokasi parkir telah ditetapkan bagi memastikan ia sesuai dan memenuhi keperluan orang ramai.

Mohd Shukri berharap langkah ini akan menyumbang ke arah menjadikan Perlis sebuah negeri yang berkat, bestari dan lestari di mana sistem parkir tersebut kini masih berada dalam fasa percubaan dan penangguhan ini dilihat sebagai satu langkah tepat pada masa ini.

Terdahulu Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Khan telah mengumumkan perancangan untuk melaksanaan sistem parkir berpalang yang melibatkan sebanyak 8,500 petak parkir di mana kos untuk tujuan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh syarikat perkhidmatan.

Namun ianya mendapat tentangan dan kecaman dari pengguna kerana dikatakan tidak mesra pengguna dan mengganggu aliran trafik setelah dilaksanakan pada 16 Jun yang lalu. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -