Separuh pegangan pertanian di Kedah dipelopori warga emas

Dzowahir Ab Ghani
- Advertisement -

ALOR SETAR: Lebih separuh pegangan pertanian di Kedah kini dipelopori oleh warga emas, sekali gus memberi isyarat kepada cabaran besar dalam memastikan kesinambungan tenaga muda dalam sektor itu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, data daripada Banci Pertanian 2024 menunjukkan bahawa 61,886 pegangan pertanian atau 50.2 peratus terdiri daripada individu berumur 60 tahun dan ke atas.

“Melalui data bancian, didapati lebih daripada 50 peratus pegangan pertanian adalah terdiri daripada warga emas.

“Dominasi ini turut menandakan cabaran besar kepada negara amnya dan kepada negeri Kedah khususnya dalam memastikan kesinambungan generasi muda dalam bidang pertanian,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 peringkat Negeri Kedah, anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) di sini, hari ini.

Tambahnya, walaupun penting untuk mengiktiraf sumbangan warga emas dalam sektor ini, strategi khusus perlu dirangka bagi menarik penglibatan generasi muda menerusi pendekatan yang lebih progresif dan moden.

“Amat penting untuk mengiktiraf sumbangan warga emas, tetapi dalam masa yang sama, perlu merangka strategi untuk menarik minat generasi muda melalui pendekatan yang lebih progresif, berteknologi tinggi dan berdaya saing,” katanya.

Jelasnya lagi, nilai jualan sektor pertanian negeri itu bagi tahun 2023 mencecah RM7.88 bilion dengan sumbangan terbesar datang daripada subsektor tanaman (51.8 peratus), diikuti ternakan (22.1 peratus), perikanan (19.3 peratus), akuakultur (4.0 peratus) dan perhutanan pembalakan (2.9 peratus).

Beliau turut berkata, kerajaan negeri komited memajukan sektor ini, khususnya dalam industri padi, termasuk mengusahakan semula sawah-sawah terbiar dengan kerjasama syarikat tempatan dan antarabangsa.

“Syarikat-syarikat ini berperanan membawa masuk teknologi baru seperti AI, penggunaan drone berteknologi canggih dan IoT yang mampu menarik minat anak muda ke dalam sektor pertanian.

“Penyertaan anak muda digalakkan lagi melalui program ‘Agropreneur Muda’, Starter Kit dan latihan teknikal yang disediakan oleh jabatan-jabatan kerajaan.

“Di samping itu, konsep agro-pelancongan turut diketengahkan, menerusi pendekatan ‘farm-to-tourism’ seperti lawatan ke sawah padi dan aktiviti ladang yang membuka peluang baharu kepada petani menjana pendapatan sampingan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -