Sektor pertanian Kedah catat nilai jualan RM7.88 bilion

Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin
- Advertisement -

ALOR SETAR: Sektor pertanian di Negeri Kedah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM7.88 bilion, sekali gus menunjukkan potensi besar sektor hijau dalam memacu ekonomi negeri ini.

- Advertisement -

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, data pertanian yang terkini penting dalam merangka strategi pembangunan yang lebih berkesan.

“Banci Pertanian ini sangat penting untuk tujuan perancangan dan pembangunan negara. Dengan adanya data yang lengkap dan terkini, kerajaan dan pihak berkepentingan dapat membuat keputusan yang lebih tepat dalam merangka pelan dasar dan strategi pembangunan sektor pertanian dengan lebih berkesan.

“Penemuan banci ini akan menjadi penanda aras baharu dalam penyediaan indikator pertanian dan menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030,” kata beliau ketika Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, ujarnya, sektor tanaman mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu sebanyak RM4.08 bilion, diikuti subsektor ternakan (RM1.74 bilion), perikanan tangkapan (RM1.52 bilion), manakala subsektor akuakultur turut menyumbang sebanyak RM311 juta.

Laporan Interim oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Kedah memberi gambaran jelas mengenai sumbangan besar sektor pertanian seperti padi, getah, kelapa sawit dan buah-buahan dalam memperkukuh ekonomi negeri ini.

Tambah Mohd Uzir, sektor pertanian juga dilihat terus berkembang dengan penerapan teknologi tinggi.

“DOSM telah membangunkan sistem TaniStats (Sistem Integrasi Pangkalan Data Digital Pertanian).

“Inisiatif ini selaras dengan dasar keterbukaan dan perkongsian data rasmi di portal kerajaan dan berfungsi sebagai ‘game changer’ dalam pengumpulan serta integrasi data pertanian negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -