
BALING: Projek Pembinaan Infrastruktur Sabo di Lembangan Sungai Kupang kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 75 peratus, jauh mengatasi jadual asal yang hanya menetapkan 51 peratus siap pada peringkat ini.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri Kedah, Dato’ Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek hari ini. (Foto atas)
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kontraktor pelaksana, Damaikon Sdn Bhd serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri atas komitmen tinggi menjayakan projek berimpak besar bernilai RM25 juta itu.
“Tahniah kepada semua pihak atas prestasi cemerlang dalam memastikan projek ini berjalan lancar dan lebih awal daripada jadual.
“Inisiatif ini penting demi menjaga keselamatan nyawa dan harta benda rakyat di kawasan ini,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, struktur utama empangan yang dibina di atas 33 topi cerucuk itu direka untuk memperlahankan kelajuan arus air, selain menahan puing, batu dan pasir yang dibawa dari hulu.
“Projek ini turut merangkumi pembinaan stesen siren dan sistem amaran awal bagi memberi amaran kepada penduduk sekiranya berlaku hujan lebat atau kepala air dari Puncak Gunung Inas,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigedier Jeneral (B) Dato’ Najmi Ahmad menyifatkan pelaksanaan projek itu sebagai langkah proaktif kerajaan dalam melindungi penduduk setempat daripada risiko bencana.
“Alhamdulillah pihak berwajib telah bertindak pantas pasca tragedi banjir puing di Kampung Iboi pada 4 Julai 2022 yang meragut tiga nyawa dengan mengambil tindakan segera membina empangan ini sebagai langkah mitigasi jangka panjang.
“Selain itu, mangsa turut menerima bantuan rumah baharu secara percuma sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat,” katanya.
Lawatan turut disertai oleh Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Ir. Ahmad Solihin Budarto, Penghulu Mukim Kupang serta wakil syarikat kontraktor Damaikon Sdn Bhd. – HARAKAHDAILY 10/7/2025











