Melangkah lebih jauh jadi generasi pewaris ummah

- Advertisement -

BALING: Hari Anugerah Kecemerlangan bukanlah sekadar meraikan para pelajar cemerlang, sebaliknya pengiktirafan kepada kesungguhan ibu bapa yang menjadi pendorong kejayaan anak masing-masing.

- Advertisement -

Kesempatan merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan 2025, Maahad Tarbiah Haraki An-Nur, Kuala Ketil, hari ini Pengerusi Pembangunan Luar bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Dato’ Siti Ashah Ghazali berkata, majlis tersebut penuh makna bagi meraikan kejayaan anak-anak pelajar yang telah berusaha gigih menimba ilmu pengetahuan.

“Belajarlah bersungguh-sungguh kerana ilmu adalah cahaya yang akan membimbing hidup kita. Jangan pernah jemu untuk menuntut ilmu kerana setiap ilmu yang kita pelajari, jika disertai keikhlasan, akan menjadi pelita di dunia dan akhirat,” pesan beliau.

Di samping itu, katanya, untuk lebih mendapatkan keberkatan Ilahi, para pelajarlah perlulah mengurus masa dengan baik dan memanfaatnya.

“Masa adalah amanah dan nikmat yang sangat besar. Jangan sia-siakan waktu muda dengan perkara yang melalaikan. Susun masa dengan bijak antara belajar, beribadah dan berehat,” nasihatnya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas itu juga, tidak lupa merakamkan ucapan tahniah kepada ibu bapa yang sentiasa mengambil berat urusan pembelajaran anak-anak, termasuk menjadi pendukung setia untuk kejayaan mereka.

“Ibu bapa ini seperti guru di sebalik tabir. Beri semangat, perangsang, dorongan, bantuan dan lain-lain. Guru-guru pula yang terlibat dalam pendidikan secara langsung di medan dan lapangan,” tambahnya.

Terdahulu, beliau diberi penghormatan pememeriksa pembarisan kawad kaki oleh Kadet Sekolah Pertahanan Awam (KAPSA) maahad tersebut.

Selain anugerah kecemerlangan pelajar, beberapa anugerah lain, seperti Anugerah Khas, Anugerah Guru Kemenjadian Guru, Anugerah Guru Cemerlang dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, juga diadakan.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Dato’ Ashah kepada para penerima. Turut hadir, Pengerusi Maahad Tarbiah Haraki An-Nur, Dato’ Ustaz Taib Azamudden Md Taib dan mudirnya, Ustaz Azam Hakimi Taib Azamudden.

Beliau juga mengharapkan agar semua para pelajar terus melangkah lebih jauh dan menjadi generasi pewaris ummah yang hebat, berakhlak dan berilmu. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -