Ambulans YAMCS sedia khidmat di Lembah Klang

- Advertisement -

SHAH ALAM: Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor (YAMCS) telah memiliki sebuah ambulans bagi kegunaan membantu penduduk di sekitar Lembah Klang yang memerlukan perkhidmatan tersebut.

- Advertisement -

Penasihat YAMCS, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, dengan adanya ambulans itu membuktikan satu pencapaian yang sangat baik di bawah urus tadbir Pengerusi YAMCS, Mohd Nizam Idris.

Bagaimanapun katanya, tanpa kerjasama dan kesepakatan daripada semua ahli jawatankuasa, maka impian untuk memiliki ambulans itu tidak akan tercapai.

“Berkat kesungguhan semua ahli jawatankuasa dan ahli YAMCS dibawah urus tadbir Cikgu Nizam, diharap dapat merealisasikan sesuatu yang terbaik untuk masyarakat,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu telah merasmikan Ambulans Alphard di tempat letak kereta di bangunan Worldwide, Seksyen 13, di sini kelmarin dahulu.

Sementara itu, Mohd Nizam berkata, ambulans terbabit akan digunakan untuk masyarakat di Lembah Klang termasuk melibatkan Klang dan Shah Alam.

Menurut beliau, pengurusan ambulans itu akan diamanahkan kepada seorang ketua dan relawan yang akan diberi taklimat mengenai perkhidmatan ambulans Yayasan Amal.

Sebelum itu, Dr Ahmad Yunus telah menyampaikan watikah pelantikan Ahli Jawatankuasa YAMCS sesi 2025/2027 dalam permukiman yang diadakan di pejabat YAMCS, bangunan Worlwide.

Dato’ Dr Ahmad Yunus dalam ucapannya yakin Yayasan Amal akan berada di tahap yang lebih maju jika mencontohi kejayaan Bangladesh Rural Advancement Commitee (BRAC).

Menurut beliau, ini satu perkara sangat memberi manfaat jika Yayasan Amal boleh belajar daripada BRAC yang merupakan antara 10 badan bukan kerajaan (NGO) terbaik dunia.

“Kalau tidak dapat melakukan 100 peratus seperti BRAC, kerja yang dilakukan Yayasan Amal ke arah memberi impak yang besar kepada masyarakat, itu sudah cukup baik.

“Bukan itu sahaja, kita dapat membina satu kekuatan dalam Yayasan Amal sama ada ahli dan jawatankuasanya,” katanya dalam ucapan penutup di permukiman itu.

Beliau juga yakin ahli dan jawatankuasa Yayasan Amal akan berfikiran jauh dan akhirnya dapat mengekalkan kualiti Yayasan Amal sebagai NGO terbaik.

Dalam masa yang sama, beliau menekankan mengenai penggunaan dana supaya lebih teratur dan mempunyai rekod.

“Ini satu perkara yang cukup penting dan saya yakin Yayasan Amal Malaysia dan cawangannya dapat membelanjakan wang dengan cukup baik dan teratur,” ujarnya.

Beliau mengingatkan pengurusan kewangan perlu sentiasa dikemaskini dan mematuhi syarat NGO. – HARAKAHDAILY 10/7/2025

- Advertisement -