Cadangan tambah baik jalan di Sungai Korok diperhalusi

- Advertisement -

JERLUN: Tragedi enam sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan ngeri di Sungai Korok baru-baru ini bukan sahaja meruntun hati seluruh rakyat negeri ini, malah turut membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan keselamatan jalan raya, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Negeri Kedah, Dato’ Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, pihaknya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) turun padang bagi meninjau keadaan fizikal jalan raya di lokasi kejadian dan kawasan sekitarnya, semalam. (Foto atas)

“Hasil tinjauan tersebut, beberapa cadangan awal dikemukakan oleh pihak JKR sebagai langkah segera untuk menambah baik aspek keselamatan di laluan tersebut.

“Antara cadangan termasuklah pemasangan penghadang jalan bagi mengelakkan kenderaan terbabas ke dalam sungai, pemasangan lampu jalan bagi meningkatkan pencahayaan pada waktu malam, penambahan paku jalan pemantul cahaya untuk panduan pemandu dalam keadaan gelap.

“Selain itu, pembinaan tiang penunjuk arah dan papan tanda amaran turut dicadangkan bagi memberi peringatan awal kepada pengguna jalan raya.

“Turut dicadangkan adalah pemasangan lampu amaran dan garisan jalan yang lebih jelas sebagai pelengkap sistem keselamatan menyeluruh di kawasan tersebut,” katanya kepada Harakahdaily.

Usaha itu, katanya tertakluk kepada kemampuan bajet semasa, namun komitmen kerajaan negeri untuk memastikan keselamatan rakyat tidak akan dikompromi.

Menurut beliau lagi, langkah-langkah itu tidak hanya tertumpu di lokasi tragedi sahaja, malah turut melibatkan beberapa kawasan lain di sepanjang Sungai Korok yang turut dikenalpasti sebagai titik panas.

“Antaranya termasuklah di Kampung Alor Biak dan Kampung Telaga Batu yang juga mempunyai selekoh tajam dan kedudukan jalan berhampiran sungai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan bahawa kerajaan pusat sedang menimbangkan cadangan untuk membina pagar penghadang dan memasang lampu jalan di sepanjang laluan Sungai Korok.

Komitmen tersebut ujarnya, diharap dapat diterjemahkan kepada tindakan segera agar keselamatan pengguna jalan raya di kawasan itu dapat dipertingkatkan.

Penghadang yang akan dipasang sementara menunggu peruntukan untuk projek penambahbaikan.

“Sekalung terima kasih diucapkan kepada Dato’ Seri Zahid Hamidi atas pengumuman tersebut. Semoga langkah ini akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat, insya-Allah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/7/2025

- Advertisement -