
KANGAR: Raja Muda Perlis, Brig Jen Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menegaskan bahawa tanggungjawab mendidik bukanlah terletak di bahu pihak sekolah semata-mata, sebaliknya menuntut kerjasama erat antara ibu bapa, penjaga, masyarakat dan semua pihak berkepentingan.
“Setiap pelajar juga perlu memiliki keberanian dan iltizam untuk berubah serta semangat yang tinggi untuk menjadi insan yang lebih baik. Bersikap terbuka untuk dibimbing dan berusaha mengembangkan potensi diri demi membina masa depan yang cemerlang dan bermakna,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Penutup Kem Jati Diri 2025 Untuk Pelajar-Pelajar Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis yang diadakan di Dewan Syed Faizuddin Putra, Kem Rejimen 504 Askar Wataniah, Bukit Keteri, di sini semalam.
Tuanku Syed Faizuddin turut menyeru agar para pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada untuk mengenali potensi diri, memperkukuh sahsiah dan kembali ke sekolah sebagai individu matang, bertanggungjawab dan positif.
Keberangkatan tiba baginda turut diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli serta Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Datuk Johari Mohd Darus serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat, Noor Aeiza Hassan.
Kem ini merupakan inisiatif bersama YTSP dan Yayasan Bank Rakyat dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Rejimen 504 Askar Wataniah.
Sepanjang tiga hari bermula 4 hingga 6 Julai 2025, kem ini menjadi wadah bimbingan dan pembangunan sahsiah yang menyasarkan 101 pelajar perempuan Tingkatan 3 dan 4 dari seluruh negeri.
Peserta diberi pendedahan menyeluruh meliputi aspek sahsiah terpuji, kesedaran kendiri, integriti, semangat berpasukan, keyakinan diri dan motivasi akademik.
Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan mengurniakan sijil kepada 51 orang peserta serta sijil penghargaan kepada penaja utama program, sementara Tuanku Dr Lailatul Shahreen mengurniakan sijil kepada baki 51 pelajar yang lain.
Kem ini mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya tahan dan berakhlak mulia demi masa depan negeri dan negara. – HARAKAHDAILY 7/7/2025











