
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah sedang giat memperkukuh pembangunan sumber manusia melalui kerjasama strategik bersama pihak Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDC) Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam serta NGO, Wong Chia Zhen berkata, antara inisiatif yang dibincangkan dalam pertemuan bersama pihak HRDC adalah penubuhan Pusat Latihan dan Pembangunan Komuniti.
“Inisiatif ini bertujuan menyokong pembangunan sosioekonomi komuniti setempat melalui pelbagai program latihan, seperti yang telah berjaya dilaksanakan di Perak bersama komuniti Orang Asli,” katanya kepada Harakahdaily, semalam.
Selain itu, HRDC turut mencadangkan pelaksanaan program kesedaran untuk majikan yang memberi penekanan kepada kepentingan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) bagi para pekerja.
“Langkah-langkah ini penting dalam membina ekosistem sumber manusia yang mampan di Kedah.
“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Negeri Kedah, saya amat menyokong inisiatif ini dan yakin kerjasama ini mampu memberi impak positif kepada rakyat negeri ini,” ujar beliau lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau turut berkata, Pejabat HRDF akan dibuka di Alor Setar pada tahun ini, sekali gus memudahkan urusan berkaitan latihan dan pembangunan sumber manusia bagi kawasan Kedah dan Perlis.
“Sebelum ini, urusan berkaitan hanya boleh dilakukan di pejabat HRDF di Seberang Jaya, Pulau Pinang. Pembukaan pejabat baharu ini pastinya memberi manfaat besar kepada majikan dan pekerja di negeri ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 7/7/2025











