
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu segera kembali ke tanah air bagi memberi penjelasan berhubung dakwaan pencabulan institusi kehakiman negara oleh sembilan Ahli Parlimen PKR.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, kerajaan perlu bertindak segera dan telus terhadap perkara itu kerana institusi kehakiman adalah salah satu cabang utama pentadbiran negara.
“Apabila cabang ini dicemari oleh campur tangan politik atau eksekutif, maka runtuhlah prinsip pengasingan kuasa yang menjadi asas sesebuah negara demokrasi. Tanpa kebebasan kehakiman, kita tidak lagi boleh mendakwa Malaysia sebagai negara demokrasi.
“Bahkan sedang meluncur ke arah pemerintahan berciri diktator. Ini bukan isu kecil yang boleh dilengah-lengahkan. Ini adalah isu melibatkan kedaulatan undang-undang dan masa depan keadilan dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut menzahirkan sembah takzim bagi memohon Yang di-Pertuan Agong supaya meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya demi memelihara kebebasan institusi kehakiman daripada campur tangan eksekutif.
“Patik yakin bahawa Seri Paduka Baginda sentiasa menjunjung prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, dan dengan penuh harapan, patik serta seluruh rakyat menantikan kebijaksanaan Baginda dalam menangani kemelut yang sedang melanda ini,” katanya.
Terdahulu, sidang media diketuai Ahli Parlimen Pandan, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli hari ini menggesa satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan berhubung kelewatan pelantikan hakim.
Menurut beliau, pencalonan bagi beberapa jawatan hakim itu sudah dihantar oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) kepada kerajaan sebelum ini namun tidak diambil tindakan sewajarnya.
Sidang media turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail serta Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan.
Juga Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh. – HARAKAHDAILY 7/7/2025











