
ARAU: Ketua Muslimat PAS Kawasan Arau, Husna Hashim menyuarakan kebimbangan terhadap kegagalan kerajaan menangani krisis kos sara hidup yang terus menekan rakyat tanpa sebarang langkah konkrit atau pelan jangka panjang.
“Isu kos sara hidup semakin membebankan dan memberi kesan langsung kepada harga barang. Malangnya, kerajaan masih belum memperlihatkan satu pelan menyeluruh untuk mengurangkan beban ini,” katanya kepada Harakahdaily, semalam.
Menurutnya, ketiadaan strategi tenaga mampu milik dan dasar ekonomi rakyat yang bersifat jangka panjang mencerminkan kelemahan pentadbiran kerajaan sedia ada.
“Sampai bila rakyat perlu menanggung tekanan ini? Kita tidak nampak pun perancangan jangka panjang kerajaan untuk memastikan sumber tenaga boleh diakses dengan harga munasabah oleh semua lapisan rakyat,” katanya lagi.
Beliau turut mempersoalkan perbelanjaan besar yang dilihat tidak berkeutamaan, seperti peruntukan RM4 bilion untuk projek Kota Madani.
“RM4 bilion untuk apa? Dalam keadaan rakyat sengsara, wang sebanyak itu dibelanjakan untuk sesuatu yang tidak memberi pulangan langsung kepada ekonomi rakyat. Ini tidak masuk akal,” tambah Husna.
Husna juga menegaskan bahawa kerajaan jelas gagal merangsang ekonomi pasca COVID-19 dan tidak membantu mengukuhkan sektor perniagaan, baik yang formal mahupun tidak formal.
“Apa logiknya kerajaan bercadang menambah cukai kepada rakyat, sedangkan pada masa sama mereka membiarkan ketirisan dan pembaziran berleluasa tanpa tindakan tegas?” soalnya.
Beliau menyarankan agar kerajaan segera mengutamakan kebajikan rakyat, menstruktur semula perbelanjaan negara, dan menghentikan dasar-dasar yang membebankan rakyat demi menjaga kestabilan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. – HARAKAHDAILY 2/7/2025











