Kerajaan Madani tidak mendengar rintihan rakyat

- Advertisement -

TUMPAT: Rakyat di seluruh negara terus terbeban dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan kenaikan tarif elektrik yang mula berkuat kuasa mulai 1 Julai.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah berkata, kesan paling awal dirasai adalah dalam kalangan peniaga apabila pelbagai cukai dikenakan termasuk kenaikan harga minyak.

Katanya, keadaan itu seterusnya akan mendorong kepada peningkatan harga barang keperluan.

Beliau berkata, akhirnya rakyat selaku pengguna menjadi pihak paling terkesan apabila semua kenaikan itu mula dilaksanakan satu demi satu bermula dengan SST dan kemudian tarif elektrik.

“Kerajaan Madani langsung tidak mendengar rintihan rakyat. Sejak mula memerintah negara, pelbagai langkah yang diambil mereka hanya menambahkan beban dan tidak memberi kelegaan kepada rakyat,” katanya.

Mohd Rusli berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily selepas merasmikan Majlis Kemampanan Komuniti Bandar (program gotong-royong) DUN Wakaf Bharu, dekat sini semalam.

Lebih 200 peserta melibatkan komuniti awam DUN berkenaan, sebahagian peniaga serta petugas Majlis Daerah Tumpat turut bergotong-royong membersihkan sekitar Pasar Wakaf Bharu.

Beliau turut menyeru rakyat dan para pengundi di seluruh negara agar menolak kerajaan sedia ada pada pilihan raya akan datang sebelum lebih banyak cukai dikenakan.

“Perikatan Nasional (PN) dan PAS sudah ada pengalaman mentadbir negara. Maka, berikan semula kepercayaan untuk PN mengambil alih pentadbiran negara ini dalam Pilihan Raya Umum ke-16 nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2025

- Advertisement -