
KUALA LUMPUR: Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah, menjelaskan bahawa kedua-dua pendekatan pemakanan iaitu diet kalori dan diet ketogenik (keto) mempunyai asas saintifik tersendiri, namun diet kalori lebih terbukti secara kajian untuk pengurusan berat badan jangka panjang.
Beliau berkata, diet berasaskan kalori adalah kaedah paling disokong oleh sains dan berkesan tanpa mengira jenis makanan, asalkan ia berada dalam keadaan defisit kalori.
“Kaedah ini fleksibel, boleh makan semua jenis makanan secara seimbang. Ikut kaedah suku suku separuh dan kiraan kalori setiap hidangan yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Bukan kena bawa penimbang setiap kali nak makan, tapi ianya anggaran,” ujarnya dalam satu kenyataan menerusi media sosial.
Beliau berkata, kejayaan jangka panjang diet kalori bergantung kepada konsistensi dan perubahan gaya hidup, dan ia disokong oleh kajian selama beberapa dekad ke atas pelbagai kumpulan manusia.
Mengulas mengenai diet keto pula, Dr Suhazeli menjelaskan bahawa pendekatan itu terbukti menyebabkan penurunan berat badan yang cepat dalam jangka pendek, namun memerlukan disiplin dan pemantauan khusus.
“Peserta memerlukan satu motivasi yang tinggi yang dilatih oleh ‘coach’ yang khusus. ‘Coach’ memberikan galakan walaupun mengalami beberapa kesan sampingan yang mungkin boleh berlaku.
“Bayar kos berapa pula berserta dengan set menu makanan yang dikhususkan? Kalau orang kampung, meleleh air liur ajelah,” terangnya.
Beliau menambah, walaupun diet keto mungkin membantu kawalan gula darah terutama bagi penghidap diabetes jenis dua, ia sukar diamalkan dalam jangka panjang dan boleh meningkatkan paras kolesterol dalam sesetengah individu.
“Sebab apa? Makan kambing bakar tiap-tiap hari serta lemak lembu barbecue,” jelasnya.
Dalam nada bersahaja, Dr Suhazeli turut berkongsi pengalamannya ketika makan di sebuah restoran Pakistan di Jalan Raja Laut selepas menghadiri mesyuarat bersama rakan-rakannya.
“‘Saya mazhab real food, Doktor!’ jawab sahabat ustaz saya di Restoran Ras Balauce Pakistan, Jalan Raja Laut. Di sinilah ‘port’ yang selalu kami makan selepas mesyuarat.
“Makanan dia pesan adalah daging panggang; Mutton Karahi, Butter Chicken, Tandoori Chicken dicicah dhal (lentil) – semua ‘real food’ katanya,” ceritanya.
Beliau berkata, pendekatan ‘real food’ itu merujuk kepada tidak mengambil karbohidrat, sebaliknya hanya makan makanan berasaskan protein, lemak dan buah-buahan.
“Saya tak ada perseteruan pun dengan dua jenis diet iaitu diet biasa yang kita panggil sebagai kalori diet vs keto diet,” jelasnya.
Katanya, pilihan jenis diet adalah di tangan masing-masing mengikut keperluan dan kemampuan.
“Pilihan semua dia berada di tangan anda! Atau bagaimana?” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2025











