PM gagal laksana tanggungjawab perlembagaan

Rafique (kiri) dan Anwar.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman menegaskan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu bertanggungjawab penuh atas kegagalan melaksanakan tanggungjawab Perlembagaan berkaitan pelantikan hakim-hakim kanan negara.

- Advertisement -

Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan bahawa tugas eksklusif menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan Hakim-Hakim kanan atau atasan adalah terletak pada Perdana Menteri.

“Sehingga di saat akhir ini langsung tiada sebarang respon atau jawapan dari Perdana Menteri berkenaan perkara ini walaupun sekurang-kurangnya dua posisi utama yakni Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan akan kosong dalam tempoh kurang 48 jam.

“Situasi sebegini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara serta membawa kepada kebuntuan dan krisis perlembagaan. Terdapat pelbagai kes peribadi yang berkait Perdana Menteri yang pasti membawa konflik kepentingan terutamanya dengan permohonan imuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, meninggalkan pelantikan Hakim-Hakim atasan ini hingga ke saat akhir adalah amat tidak bertanggungjawab sedangkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) mengadakan mesyuarat berkala.

Jelasnya, perkara itu membuktikan bahawa Anwar kini sedar bahawa masyarakat sivil, rakyat jelata, pengamal undang-undang, ahli-ahli politik semuanya berkata benar berkenaan keadaan konflik kepentingan yang dialami olehnya.

“Keadaan makin genting bilamana salah seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang disebut-sebut akan menerajui badan Kehakiman terpalit dengan kontroversi laporan polis termasuklah cubaan mempengaruhi keputusan YAA Ketua Hakim Negara serta cuba mengatur hakim dan tidak menghormati integriti kehakiman.

“Jelas, beliau hilang kelayakan memegang sebarang jawatan dalam badan Kehakiman. Posisi Perdana Menteri sebagai penasihat ulung bagi penjawatan kehakiman ini mestilah disemak semula pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu merafak sembah memohon agar Yang di-Pertuan Agong memanggil Mesyuarat Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 40 Fasal 2(c) Perlembagaan Persekutuan bagi menangani krisis berkenaan.

“Raja-Raja Melayu perlu bersidang kerana permohonan Perdana Menteri yang memohon soalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berkait isu kekebalan yang tidak wujud walaupun bagi Raja-Raja Melayu.

“Isu berkaitan pelantikan hakim-hakim kanan juga, jika dilihat pada Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan menyentuh peranan Majlis Raja-Raja yang akan bertindak sebagai majlis rundingan kepada Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Rafique turut percaya bahawa Pejabat Perdana Menteri dan para penasihatnya akan menyatakan Anwar tidak mahu dilihat sebagai mencampuri urusan kehakiman, sambil menyifatkan alasan itu tidak patut dan tidak boleh diterima.

“Ia dangkal dan tidak munasabah. Sekretariat sekali lagi menggesa Perdana Menteri mengambil cuti dari jawatan Perdana Menteri sehingga kes peribadinya selesai di Mahkamah.

“Rakyat diingatkan untuk sentiasa mempertahan satu-satunya benteng negara yang tinggal iaitu sistem kehakiman yang kita semua perlu hormati demi kedaulatan undang-undang,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -