Menteri Besar ucap tahniah kepada Fazril Azim

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pegawai Rendah Kanan, Fazril Azim Shaharuddin dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

- Advertisement -

Menurutnya anak kelahiran Kuala Krai itu turut menerima Piala Seri Angkasa dan sebilah Pedang Kehormat sempena Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Pegawai Kadet ATM di Kem Perdana Sungai Besi Kuala Lumpur.

“Mata saya tertumpu pada satu berita yang telah menarik perhatian, seorang anak jati Kelantan, Pegawai Rendah Kanan Fazril Azim Shaharuddin dari Kuala Krai, telah dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Semoga Fazril Azim terus maju dan menjadi pemangkin semangat kepada anak muda yang lain untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan tanah air,” kata beliau dalam satu kemaskini terbaharu di media sosial, Facebook di sini semalam.

Media hari ini melaporkan Leftenan Muda Fazril Azim Shaharuddin, yang dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik TUDM di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), menjadikan ibunya, Nor Asma Mat Dam sebagai sumber rujukan dalam aspek kepimpinan.

Fazril yang juga pelajar dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) amat mementingkan jadual akademik dan latihan konsisten menuntut disiplin tinggi dan kesungguh luar biasa.

Terdahulu, seramai 509 Pegawai Kadet ditauliahkan pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Pegawai Kadet ATM di Kem Perdana Sungai Besi Kuala Lumpur disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. – HARAKAHDAILY 1/7/2025

- Advertisement -