
KOTA BHARU: Kelantan Darulnaim FC (KDN FC) terus memperkukuh barisan pengurusan tertingginya apabila melantik dua pemimpin utama Kerajaan Negeri sebagai penasihat kelab.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhamad diumumkan sebagai penasihat baharu KDN FC.
Pelantikan tersebut dibuat susulan penstrukturan semula kelab di bawah pengurusan baharu Kijang Handal Sdn Bhd yang turut menyaksikan Dato’ Mohd Irwan Rizal dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
Mohamed Fadzli berkata, pelantikan beliau bukan sekadar penghormatan tetapi tanggungjawab besar untuk bersama-sama menjayakan visi pembangunan bola sepak Kelantan.
“Bola sepak bukan sekadar sebuah permainan. Ia merupakan platform untuk anak-anak Kelantan membuktikan potensi, mengasah bakat dan mengangkat nama negeri dengan penuh jati diri dan maruah.
“Sukan bola sepak adalah medan penyatuan rakyat, ruang membina karakter dan saluran membentuk masa depan negeri yang lebih cemerlang dan bermaruah,” ujarnya.
Kelab yang dahulunya dikenali sebagai Kelantan United FC kini dalam fasa persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia 2025-2026 yang bakal bermula pada 8 Ogos ini.
Sebelum ini, mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa juga dilaporkan ditawarkan peranan sebagai penasihat KDN FC tanpa sebarang syarat atau ganjaran.
Irwan turut memaklumkan bahawa pihak kelab sedang menjalankan rundingan secara berperingkat dengan beberapa bekas pemain bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji musim 2024-2025. – HARAKAHDAILY 29/6/2025











