Kontrak pertahanan masih diberi kepada syarikat gagal?

Aerotree sebelum ini gagal bekalkan helikopter Black Hawk

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz menyifatkan pemberian kontrak baharu kepada Syarikat Aerotree Sdn Bhd, jika benar, sebagai satu perkembangan tidak sihat dalam perolehan aset ketenteraan dan kerja-kerja kontrak pertahanan negara.

Ketua Portfolio Pertahanan Ahli Parlimen Perikatan Nasional itu berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan segera mengenai nilai kontrak yang diberikan kepada syarikat berkenaan selaras dengan prinsip ketelusan.

“Apatah lagi ini merupakan syarikat sama yang gagal membekalkan Helikopter Black Hawk UH-60 yang amat diperlukan bagi tujuan tempur oleh Tentera Darat Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kegagalan Aerotree dalam pembekalan helikopter terbabit telah merugikan Tentera Darat dari sudut ‘time and space’ dan mendedahkan negara kepada risiko serta ancaman musuh.

“Apatah lagi helikopter utiliti dan kombat jenis Black Hawk merupakan keperluan ‘medium lift’ yang amat diperlukan oleh Tentera Darat untuk menyokong operasi di dalam hutan dan pangkalan tentera terpencil.

“Ini merupakan satu bentuk sabotaj kepada aspek kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” bidas Ahli Parlimen Tanah Merah itu.

Ikmal turut mempersoalkan sama ada Kementerian Pertahanan (MINDEF) sudah menjelaskan jumlah ‘Liquidated Ascertained Damages’ (LAD) atau denda yang dibayar syarikat itu berkaitan kegagalan membekalkan helikopter berkenaan.

Beliau berkata, kegagalan Aerotree membuka ruang kepada pihak oportunis yang berjaya meyakinkan kerajaan untuk mendapatkan helikopter jenis AW149 yang tidak memenuhi spesifikasi asal Tentera Darat.

“Rakyat perlu tahu apakah ‘track record’ Syarikat Aerotree Sdn Bhd dalam perolehan aset ketenteraan atau kerja-kerja pembangunan fasiliti pertahanan sebelum ini sehingga kurang daripada lapan bulan mereka gagal membekalkan helikopter Black Hawk.

“Kini mereka mendapat anugerah kontrak penentu-ukuran kemudahan fasiliti pertahanan?” katanya.

- Advertisement -

Terdahulu media tempatan melaporkan wujud persoalan berhubung keputusan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang memberikan kontrak baharu kepada Aerotree Defense and Services, walaupun syarikat itu sebelum ini gagal membekalkan empat helikopter Sikorsky UH-60A Black Hawk.

Berdasarkan sepucuk surat, syarikat berkenaan telah diberikan kontrak untuk melakukan penentukuran peralatan sistem pendaratan instrumen bagi pesawat sayap tetap di tiga pangkalan udara tentera baru-baru ini.

Sebelum ini, pada November, Kementerian Pertahanan membatalkan kontrak sewaan helikopter Black Hawk bernilai RM187 juta yang dimeterai bersama Aerotree, selepas syarikat itu gagal menghantar pesawat berkenaan walaupun telah diberikan tiga kali penangguhan.

Empat helikopter yang sepatutnya disewa untuk tempoh lima tahun itu dirancang untuk digunakan sebagai platform kepada Tim Nukleus Pasukan Udara Tentera Darat, bagi menyokong latihan serta misi penerbangan operasi.

HARAKAHDAILY 29/6/2025

- Advertisement -