Kekuatan akar umbi jana kehebatan gerak kerja parti

- Advertisement -

KUALA KEDAH: Kejayaan dan kemantapan akar umbi, terletak ditangan ahli dan pemimpin PAS di peringkat bawahan dan cawangan, demikian kata Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.

- Advertisement -

Kata beliau, kuatnya akar di peringkat bawahan, akan menyokong kekuatan di peringkat atas dan seterusnya.

“Ibarat pokok, apabila akar umbinya kuat, perdu dan dahan pokok juga akan kuat. Daun-daun akan subur menghijau dan yang mana kering dan mati akan gugur,” katanya memberi perlambangan

Oleh itu ujarnya, ahli-ahli PAS di peringkat cawanganlah yang bertanggungjawab untuk memastikan akar-akar umbi ini akan terus hidup dan menguatkan pohonan serta dahan-dahan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Kedah kali ke-51, di Dewan Al-Amin, Telok Bagan, di sini semalam.

Justeru dengan adanya mesyuarat agung inilah, ujar Dr Ahmad, ia menjadi medan untuk sama-sama saling bertukar pandangan, menyuntik semangat dan saling nasihat-menasihati.

Peringatan serta nasihat itu tegasnya, tidak lain tujuannya melainkan supaya tidak tergelincir dari arah perjuangan sebenar yang dicita-citakan, juga dengan hasrat segala sumbangan bakti menjadi amalan soleh di sisi Allah SWT.

“Inilah antara perkara yang membezakan ahli PAS dengan ahli parti lain. Dalam PAS, kita sentiasa ingatkan hubungan kerja siasah ini ada kaitannya dengan dengan akhirat.

“Kita sanggup bekerja tanpa had dan berkorban apa sahaja, apabila memahami kerja-kerja siasah ini ada kaitannya dengan akhirat. Berbanding ahli parti politik lain, yang melebih memfokuskan ganjaran dunia.

Hang (kamu) dapat apa? Aku dapat apa? Hang untung tak duk (berada) dalam tu, aku rugi tak duk dalam parti ni,” tegas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu lagi.

Berikutan itu katanya, kefahaman yang dipupuk oleh PAS melalui nasihat serta penerangan, akan menambah keyakinan ahli bahawa setiap pengorbanan serta sumbangan walaupun sedikit, akan membolehkan ganjaran syurga Allah, di akhirat nanti.

Namun, dalam masa yang sama, beliau juga mengingatkan, agar sumbangan dan pengorbanan yang diberikan walaupun sedikit perlulah ikhlas demi Islam.

“Hindarilah niat atau inginkan ganjaran lain selain Allah kerana bimbang sumbangan itu juga nanti boleh membawa ke jurang api neraka,” ingat beliau.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan semua yang hadir agar memberi sepenuh perhatian kepada gerak kerja berikutan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 juga akan berlaku tidak lama lagi.

“Saya amat mengharapkan jentera di peringkat cawangan, bersedia dengan arahan-arahan yang akan dikeluarkan, yang perlu dilaksanakan mengikut masa yang ditetapkan,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 29/6/2025

- Advertisement -