PAS beri amaran kepada konco Zionis dalam negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memberi amaran keras kepada mana-mana pihak dalam negara yang bersimpati dengan rejim Zionis Israel atau menyokong usaha mengiktiraf negara haram itu.

- Advertisement -

Bendahari PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, walaupun perhimpunan diadakan di Kuala Lumpur, namun suara bantahan rakyat Malaysia didengari di seluruh dunia.

“Alhamdulillah saya yakin bahawa hari ini dan hari yang mendatang kita akan melihat umat Islam di seluruh dunia keluar membantah akan keganasan dan jenayah yang telah dilakukan.

“Kita turun hari ini untuk memberi isyarat jelas bahawa jika hari ini Iran diserang, esok lusa mungkin negara lain pula yang akan diserang oleh Amerika Syarikat (AS) dan juga Zionis Yahudi itu,” katanya.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor itu berucap demikian dalam Himpunan Bantah Serangan Terhadap Iran di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat bukan hanya memberi amaran kepada Amerika Syarikat dan rejim Zionis, tetapi juga kepada konco-konco mereka yang berada dalam negara.

“Jadi hari ini kita turun untuk memberi amaran satu lagi yang saya ingin menegaskan di sini bahawa kita bukan sahaja memberi amaran kepada AS dan Zionis, tetapi kita memberi amaran kepada konco-konco Zionis yang ada dalam negara ini.

“Kita tahu ada, mungkin ada yang bersimpati, kita memberi amaran bahawa jangan kamu cuba apa-apa di negara ini, dan kita akan memberi amaran kepada kerajaan bahawa sebelum ini ada usaha supaya kerajaan mengiktiraf negara haram Israel dan Yahudi ini.

“Kita sebagai umat Islam membantah sebarang usaha tersebut dan mereka yang menyokong sebarang pengiktirafan negara haram Yahudi ini, jaga-jaga. (Kami memerhati) Kami ada disini dan kami bersedia,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2025

- Advertisement -