Mahkamah Syariah ada kuasa putus kes hina mahkamah

Datuk Zainul Rijal bersama peguam lain setelah selesai mengikuti perbicaraan kes permohonan Maria Chin yang ditolak Mahkamah Persekutuan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Maria Chin Abdullah sebagai pengesahan jelas bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa dalam mendengar dan memutuskan kes penghinaan mahkamah.

“Alhamdulillah permohonan kebenaran merayu Maria Chin ditolak oleh Mahkamah Persekutuan sebulat suara. Bermakna Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes penghinaan mahkamah terhadapnya,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya itu bagi mendapatkan kebenaran merayu terhadap perintah berkaitan notis tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya atas dakwaan menghina Mahkamah Syariah.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Nordin Hassan bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Nordin berkata, tiada isu baharu timbul yang boleh mewajarkan Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan berkenaan, selain menjelaskan bahawa persoalan mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan telah diperjelaskan dalam kes-kes terdahulu.

Panel turut berpandangan bahawa Maria tidak memenuhi keperluan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk diberikan kebenaran merayu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Maria pada 2019 susulan kenyataan beliau yang mengkritik keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia Hanafi, bekas isteri ahli perniagaan, SM Faisal SM Nasimuddin.

Prosiding menghina mahkamah terhadap Maria dimulakan atas permohonan SM Faisal melalui peguamnya dan dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Susulan itu, Maria memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Sivil pada 2021 dengan menamakan Menteri Hal Ehwal Agama ketika itu, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga Jabatan Kehakiman Syariah Wilayah Persekutuan sebagai responden.

Pada 22 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi Sivil membenarkan Maria memulakan semakan kehakiman, namun keputusan itu kemudiannya diketepikan Mahkamah Rayuan pada 27 November 2024 selepas membenarkan rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Maria pada April 2022 atas kesalahan menghina mahkamah, namun beliau tidak menghadiri prosiding berkenaan kerana dimasukkan ke hospital ketika itu.

Peguam pemerhati bagi SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader, memaklumkan bahawa Maria perlu membawa rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah bagi mencabar hukuman tersebut.

Dalam prosiding semalam, AGC diwakili Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali, manakala peguam Rosli Dahlan serta Bahari Yeow Tien Hong mewakili Maria.

Sementara itu, Zainul Rijal dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla hadir sebagai peguam pemerhati mewakili MAIWP. – HARAKAHDAILY 27/6/2025

- Advertisement -
- Advertisement -