Kerajaan didesak lebih tegas kutuk serangan AS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar mengambil pendirian lebih tegas terhadap Amerika Syarikat (AS) susulan tindakan ketenteraannya ke atas Iran yang berlaku baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Pemudanya, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden berkata, serangan itu bukan sahaja mencetuskan ketidakstabilan serantau, malah berpotensi meletus menjadi konflik global yang lebih besar.

“Hari ini kita berkumpul di Kedutaan Amerika Syarikat untuk membantah tindakan AS yang menyerang Iran dalam tempoh beberapa hari lalu walaupun serangan telah berlalu.

“Tapi kita yakin tindakan Amerika Syarikat ini akan diteruskan dalam bentuk serangan fizikal ataupun dalam bentuk serangan yang lain.

“Kita dapati Presiden AS, Donald John Trump ini kelihatan tidak begitu mesra kepada negara-negara Islam khususnya yang berkaitan Palestin,” katanya dalam sidang media Himpunan Bantah Serangan Terhadap Iran di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, di sini hari ini.

Turut hadir, Bendahari PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad; Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor; dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar.

Selain itu, Timbalan Pengerusi Siswa PAS, Aziz Zakwan Rozi; dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.

Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, tindakan Trump cuba meletakkan Palestin dan negara-negara yang menyokong Palestin sebagai musuh.

“Ini sangat tidak betul dan tidak bagus. Sikap sebagai seorang pemimpin AS dan juga pemimpin negara kuasa besar sepatutnya tidak sebegitu.

“Sepatutnya AS sebagai sebuah negara yang besar tidak menindas pihak lain terutama umat Islam, khususnya Palestin, Gaza dan negara-negara yang menyokong,” katanya.

Tambah beliau, himpunan itu menyatakan sokongan kepada Iran kerana Iran adalah negara umat Islam dan AS yang memulakan serta mencetuskan segala ketidakstabilan negara.

“Maka sebab itu, kita berhimpun pada hari ini. Insya-Allah kita akan teruskan protes perhimpunan suara-suara ini dan terus diangkat untuk membantah.

“Kita juga mendesak kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam hal ini agar mesti lebih serius dan lebih tegas untuk menyatakan bantahan kepada AS dalam apa jua keadaan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat bantahan yang dinyatakan setakat ini belum cukup memberikan isyarat kepada AS agar perlu lebih tegas dan lebih serius.

“Kita tidak pernah sama sekali bersetuju dengan apa jua AS. Saya menjangkakan kalau AS meluluskan perangai seperti ini akan boleh mencetuskan peperangan dunia ketiga.

“Oleh itu perkara ini adalah sangat tidak baik untuk keamanan dunia, ketidakstabilan politik akan berlaku dan huru hara ekonomi akan wujud. Kalau ini yang Amerika Syarikat mahu, maka seluruh dunia mesti bersatu untuk menentang usaha AS,” katanya.

Sehubungan itu, Afnan turut mencadangkan agar Sidang Khas Parlimen diadakan atau satu usul khas dibawa dalam sidang yang dijadual berlangsung hujung Julai ini bagi mengutuk tindakan AS secara rasmi di peringkat legislatif.

“Ya, saya setuju kalau dibuat sidang khas parlimen atau diselitkan satu usul dalam sidang parlimen yang akan berlangsung pada hujung Julai ini untuk mengutuk tindakan AS.

“Saya kira ini harus dibuat kerana sepertimana kita bersatu dalam isu Palestin dan kita juga harus bersatu dalam isu serangan terhadap Iran ini.

“Saya bersetuju suara yang lebih serius perlu dibuat dan dinyatakan termasuk sidang khas parlimen atau dimasukkan usul khas dalam sidang parlimen yang akan berlangsung hujung Julai nanti,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2025

- Advertisement -