Iran berhak bertindak balas demi pertahan negara

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi Nasrabadi menegaskan negaranya berhak untuk melancarkan serangan ke atas Zionis Israel susulan pencerobohan rejim itu pada 13 Jun lalu.

- Advertisement -

Menurut beliau, Artikel 51 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi hak kepada negara-negara anggota untuk mempertahankan diri secara individu atau bersama jika diserang secara bersenjata oleh mana-mana pihak.

“Kami mempunyai hak untuk mempertahankan diri bertindak balas kepada mereka dan inilah sebab kami bertindak balas. Saya tak suka, kita tak suka perang. Tetapi apabila seseorang menyerang kita, pasti kita bertindak.

“Kerana ini adalah tugas kami untuk mempertahankan negara kami, rakyat kami dan sudah tentu seluruh tamadun yang kami miliki. Atas sebab ini, kami membalas dan memberi respon kepada mereka dengan melancarkan peluru berpandu,” katanya kepada media di Kedutaan Iran, di sini hari ini.

Tegas beliau, tiada mana-mana pihak khususnya badan antarabangsa yang mengambil tindakan tegas terhadap Israel, walaupun negara itu telah menyerang banyak negara di rantau Timur Tengah.

“Sepanjang dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, Israel telah menyerang Gaza dan Palestin terlebih dahulu. Lebih daripada 65,000 orang yang tidak bersalah, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, telah dibunuh oleh Israel dan tiada siapa yang menghentikannya.

“Tidak ada negara, tidak ada pertubuhan antarabangsa, tiada siapa pun yang cuba menghentikannya. Atas sebab inilah mereka semakin berani untuk menyerang Lubnan, kemudian Syria, selepas itu tentunya Yaman dan kini Iran.

“Oleh kerana masyarakat antarabangsa dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa tidak cuba untuk menghentikan mereka, kami memutuskan untuk bertindak sendiri dan menghukum mereka,” tegasnya.

Valiollah dalam pada itu melahirkan kekecewaan terhadap Amerika Syarikat selaku anggota Majlis Keselamatan PBB yang gagal menunaikan tanggungjawab terhadap mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Ini adalah satu lagi kisah yang menyedihkan, dan mereka mengumumkan bahawa kamilah yang menyerang. Sejak hari pertama lagi, kami telah menyatakan bahawa sesiapa yang menyerang Iran, kami akan bertindak balas.

“Kami tidak akan mempersoalkan siapa dia. Inilah sebabnya kami menyerang pangkalan tentera mereka dalam serangan itu. Kami memberi jaminan kepada mereka bahawa kami hanya menyerang pangkalan tentera sahaja dan bukan lokasi lain dan itulah yang kami lakukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/6/2025

- Advertisement -