
KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyeru seluruh umat Islam agar hadir secara aman di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pada esok, 26 Jun bagi menzahirkan sokongan moral terhadap institusi kehakiman Syariah negara.
Presidennya, Muhamad Hisham Marzuki berkata, kehadiran itu penting dalam menunjukkan solidariti umat Islam terhadap usaha mempertahankan kedudukan dan kedaulatan Mahkamah Syariah yang kini dicabar menerusi permohonan kebenaran merayu oleh Maria Chin Abdullah.
“Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) merujuk kepada permohonan kebenaran merayu oleh Maria Chin Abdullah, yang dijadualkan untuk pendengaran di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya pada (esok) 26 Jun 2025 (Khamis), jam 9.00 pagi.
“Secara asasnya, permohonan ini mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk mengendalikan prosiding penghinaan mahkamah, satu kuasa yang menjadi tunjang kepada keberkesanan dan kewibawaan mana-mana institusi kehakiman,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kepentingan kes ini
Menurut beliau, isu itu memberi kesan langsung kepada hak dan kepentingan setiap orang Islam di Malaysia kerana kuasa Mahkamah Syariah untuk menghukum penghinaan mahkamah.
Ia jelasnya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 229 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1998 adalah mekanisme penting untuk memastikan perintah mahkamah dipatuhi.
“Ketiadaan kuasa ini akan melemahkan keupayaan penguatkuasaan Mahkamah Syariah. Akibatnya, perintah-perintah penting seperti nafkah untuk isteri dan anak-anak, hadhanah (hak jagaan anak), dan pembahagian harta sepencarian berisiko menjadi tidak dapat dikuatkuasakan secara efektif.
“Ini akan menyebabkan pihak yang teraniaya, terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak, tidak mempunyai remedi yang bermakna, sekali gus menjejaskan sistem keadilan keluarga Islam di negara ini,” jelasnya.
Pertahan martabat Mahkamah Syariah
Mengulas lanjut, Muhamad Hisham berkata cabaran terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah itu juga merupakan satu usaha untuk mempersoalkan kedudukan Mahkamah Syariah yang telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem dwi-kehakiman negara di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan.
“Cubaan untuk membolehkan Mahkamah Sivil menyemak keputusan prosedur Mahkamah Syariah adalah satu cabaran terus terhadap prinsip pengasingan bidang kuasa ini.
“Mahkamah Syariah, yang ditubuhkan secara sah di bawah undang-undang Persekutuan seperti Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), mempunyai hierarki dan proses rayuannya yang tersendiri untuk menangani sebarang dakwaan kesilapan prosedur atau kehakiman,” terangnya.
Solidariti dan kehadiran aman
Justeru, katanya, PPMM menyeru seluruh umat Islam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Malaysia untuk hadir secara aman.
Menurutnya, kehadiran itu adalah bagi menzahirkan sokongan moral kepada institusi kehakiman Syariah serta mengikuti prosiding berkenaan secara dekat.
Ia tambahnya dijadualkan berlangsung pada hari Khamis, 26 Jun 2025, jam 9:00 pagi di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.
“Kehadiran kita adalah manifestasi keprihatinan kita terhadap pemeliharaan kedaulatan undang-undang Islam di negara ini.
“Adalah amat penting diingatkan bahawa kehadiran dan sokongan ini hendaklah dizahirkan secara aman, teratur, dan sentiasa menghormati proses serta institusi perundangan negara,” katanya.
Beliau berkata, PPMM akan terus memantau perkembangan kes itu dengan rapi dan berharap agar Mahkamah Persekutuan akan membuat keputusan yang akan terus memelihara dan memperkukuh kedudukan Mahkamah Syariah selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan. – HARAKAHDAILY 25/6/2025











