Pemuda PAS kecam tindakan UMS guna AUKU sekat siswa

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mengecam keras tindakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berhasrat menggantung atau membuang 13 mahasiswa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) susulan penglibatan mereka dalam satu demonstrasi.

- Advertisement -

Ketuanya, Hendri Hamsah berkata, pihaknya memandang serius laporan media berhubung tindakan berkenaan dan menegaskan bahawa mahasiswa tidak wajar dihukum hanya kerana mereka menggunakan hak demokrasi untuk menyuarakan pandangan.

“Apatah lagi jika mesej yang dibawa adalah menolak gejala rasuah yang semakin merosakkan struktur pentadbiran dan ekonomi Sabah. UMS sebagai institusi ilmu seharusnya mendidik, bukan menindas suara mahasiswa,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Pihaknya tidak menyokong sebarang bentuk tindakan provokasi berlebihan atau kekacauan ketika berdemontrasi, namun tetap berdiri teguh dalam prinsip bahawa mahasiswa harus diberi ruang untuk bersuara secara aman dan bertanggungjawab.

“Tindakan mengenakan hukuman disiplin berat seperti penggantungan atau pemecatan hanya akan menanam ketakutan dan membunuh idealisme anak muda yang cintakan integriti dan keadilan,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa rasuah bukan isu kecil, sebaliknya merupakan barah yang membelenggu kemajuan negeri ini.

“Bila anak muda mula bangkit menolaknya, kita seharusnya mendengar dan mendukung, bukan menyekat dengan ugutan perundangan dan tindakan tatatertib yang melampau,” tegasnya.

Hendri turut menyeru agar pihak pengurusan UMS menarik balik sebarang rancangan untuk menggunakan AUKU ke atas mahasiswa terbabit, sebaliknya membuka ruang dialog secara terbuka dan konstruktif.

“Kami juga menyeru agar Menteri Pengajian Tinggi campur tangan bagi memastikan AUKU tidak terus menjadi alat membungkam suara mahasiswa,” serunya.

Katanya lagi, anak muda Sabah sedang menunjukkan jalan untuk menolak rasuah serta menuntut integriti dan kestabilan ekonomi negeri.

“Tugas kita ialah membimbing mereka, bukan membisukan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/6/2025

- Advertisement -