STPM: Cerminan usaha lima tahun tanpa gagal

- Advertisement -

KANGAR: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan menyifatkan kejayaan cemerlang pelajar-pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di negeri ini sebagai bukti bahawa usaha berterusan tidak akan sia-sia.

- Advertisement -

Beliau mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan semalam dan menyeru agar mereka terus bersemangat menempuh masa depan, tidak kira apa jua keputusan diperoleh.

“Apapun keputusannya, yakinlah bahawa setiap usaha itu ada ganjarannya. Kepada yang berjaya, teruskan melangkah ke hadapan dengan rendah hati dan tekad yang lebih besar.

“Bagi yang belum mencapai apa yang diharapkan, ini bukan penamat tetapi permulaan kepada jalan yang mungkin lebih baik dan sesuai untuk diri anda,” katanya.

Ustaz Azmir turut berkata, kejayaan bukan semata-mata pada keputusan peperiksaan, tetapi terletak pada semangat untuk terus mencuba kerana masa depan masih luas terbentang.

Menambah kepada pencapaian membanggakan itu, Perlis sekali lagi mencatat sejarah apabila tiada calon yang gagal dalam peperiksaan STPM tahun ini menjadikan tahun 2024 sebagai tahun kelima berturut-turut negeri ini mencatat rekod sifar calon gagal.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Perancangan) Negeri, Ahmad Sabri Mohamad berkata, seramai 411 calon STPM tahun ini layak menerima sijil, dengan 98.78 peratus daripadanya merupakan pelajar sekolah kerajaan yang lulus penuh.

Lebih membanggakan, bilangan calon yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 meningkat kepada 20 orang, berbanding 16 orang tahun sebelumnya, selain itu, seramai 195 calon berjaya meraih PNGK 3.00 ke atas.

“Prestasi keseluruhan negeri juga meningkat dan mengatasi PNGK kebangsaan sebanyak 0.02 mata.

“Ini memberi keyakinan bahawa lebih ramai calon STPM Perlis berpeluang melanjutkan pelajaran ke universiti awam,” katanya dalam sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, semalam.

Antara sekolah yang mencatat peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) termasuk SMK Agama (P) Kangar, SMK Syed Alwi, SMK Derma, SMK Tengku Sulaiman, SMK Agama Arau, dan SMK Syed Hassan. – HARAKAHDAILY 25/6/2025

- Advertisement -